POTENSI DAN BAKAT GOLONGAN AUTISME

Home » Nota Editor » POTENSI DAN BAKAT GOLONGAN AUTISME

Oleh Muhammad Lutfi Zahid

Statistik yang dikeluarkan oleh Persatuan Autisme Malaysia menunjukkan bahawa satu daripada 150 orang kanak-kanak yang dilahirkan di seluruh dunia tergolong dalam kategori penghidap autisme. Daripada jumlah tersebut, kira-kira 47 ribu orang rakyat Malaysia menghidap masalah gangguan neurologi itu. Dalam hal ini, masih banyak orang yang beranggapan bahawa penghidap autisme merupakan golongan kurang upaya yang tidak mampu untuk melakukan sebarang aktiviti atau pekerjaan. Pada hakikatnya, sedarlah bahawa autisme bukanlah penyakit, tetapi merupakan keistimewaan yang tidak dapat dilihat melalui pandangan mata kasar.

Golongan autisme ini, jika dibandingkan dengan insan normal yang lain, tiada perbezaan yang ketara dapat dikesan dari sudut tubuh fizikal mereka.  Golongan ini sama sahaja seperti orang lain; cuma yang membezakannya hanyalah tingkah laku dan cara berfikir mereka. Hal ini menyebabkan golongan ini sering disisihkan apabila mereka berkelakuan “unik” dalam khalayak umum, sehingga ada segelintir masyarakat tergamak untuk melabelkan mereka sebagai “tidak betul”. Namun begitu, sedarlah bahawa setiap ciptaan Tuhan itu tentunya ada hikmah dan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Penulis ini pernah terserempak dengan satu kumpulan muzik yang sedang membuat persembahan di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur. Kumpulan ini memainkan lagu tradisional dengan cara tersendiri yang berjaya menarik perhatian puluhan orang yang berada di kompleks itu. Penulis ini menyangka bahawa kumpulan ini pastinya ahli muzik profesional kerana kehebatan mereka mengalunkan lagu tradisional dengan begitu mudah, namun ternyata sangkaan itu salah. Penulis ini diberitahu bahawa setiap ahli kumpulan tersebut merupakan penghidap autisme.

Secara umumnya, golongan autisme ini mempunyai tahap kecerdasan minda yang luar daripada kebiasaan dan daya pemikiran yang berbeza. Golongan ini melihat dunia dengan sudut pandang mereka yang tersendiri, malah berbeza daripada pandangan orang lain. Hal ini secara tidak langsung menjadikan sebahagian daripda penghidap autisme memiliki kebolehan tertentu dan memperlihatkannya dengan cara yang tersendiri. Keistimewaan golongan autisme yang berbakat dalam bidang artistik dan penulisan, misalnya, boleh diikuti dalam ruangan fokus Dewan Siswa Bil. 4 2018 ini.

Bersempena dengan Hari Autisme Sedunia yang disambut pada bulan April ini, marilah bersama-sama kita menyemarakkan sambutan ini dengan memberikan sokongan kepada golongan istimewa ini dengan menunjukkan nilai kasih sayang terhadap mereka. Sesungguhnya penghidap autisme amat memerlukan bimbingan dan dukungan daripada setiap individu bagi meneruskan kehidupan mereka di dunia yang mencabar ini. Percayalah, golongan autisme ini, jika dibentuk dan digilap secara berterusan dengan cara yang betul berpotensi untuk berjaya dan melangkau jauh kehadapan, bahkan lebih jauh daripada individu normal yang lain.

Selamat menyambut Hari Autisme Sedunia 2018.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 4 2018)

Hantar Maklum Balas