REMAJA AUTISME: UMPAMA GEMERLAP BINTANG DI LANGIT MALAM

Home » Fokus » REMAJA AUTISME: UMPAMA GEMERLAP BINTANG DI LANGIT MALAM

Oleh Mohd Hafizi Ahmad

Sekiranya anda peminat aktor tersohor India, Aamir  Khan, pastinya anda mengingati filemnya yang ditayanngkan pada tahun 2007, Taare Zameen Par, yang mengangkat isu kanak-kanak istimewa yang menghidap penyakit disleksia. Disleksia merupakan gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Aamir Khan cuba menyampaikan mesej bahawa di sebalik gangguan yang dialami oleh watak Ishaan, budak lelaki yang berusia lapan tahun, terserlah bakat melukis yang amat mengagumkan oleh kanak-kanak istimewa tersebut.

Kehebatan Ishaan dalam filem tersebut sebenarnya persis dengan kisah benar yang dialami oleh insan berbakat besar, Wan Jamilla Wan Shaiful Bahri, atau lebih mesra disapa dengan panggilan Jamilla. Gadis istimewa ini dilahirkan pada 13 Jun 2002. Penulis berkesempatan melihat koleksi lukisannya dengan mata sendiri, yang dipamerkan di ruang khas di kediaman keluarganya di Shah Alam. Maha Suci Allah yang menganugerahkan bakat kepada Jamilla yang mampu untuk menghasilkan lukisan naif yang amat cantik dan menarik yang memukau setiap mata yang memandangnya. Penulis mengambil sedikit masa untuk meneliti setiap hasil seninya dengan lebih dekat. Rata-ratanya setiap hasil karyanya berbeza antara satu dengan yang lain bersama-sama kombinasi warna yang sangat unik.

Dengan sedikit masa yang terluang, penulis mencari kelibat Jamilla dan selang beberapa ketika, dia keluar ke ruang tamu dan menyambut penulis dengan sekuntum senyuman. Ibunya, Ar. Noorhashimah Mohamed Noordin, amat mengambil berat tentang keadaan anaknya itu dan memaklumkan bahawa aktiviti Jamilla hari ini agak padat kerana dia perlu menyiapkan satu lukisan yang akan dipamerkan dalam pameran di ibu kota. Selepas beberapa ketika, Ar. Noorhashimah mula menceritakan sejarah “keajaiban” yang dimiliki oleh anak perempuannya itu. Menurutnya, sejak lahir, masalah autisme Jamilla tidak begitu ketara sehingga umurnya empat tahun apabila Jamilla asyik melukis wajah tangisan dan makanan yang digemari, tanpa mengeluarkan sepatah kata. Pada ketika itulah, Jamilla disahkan menghidap autisme, iaitu sejenis gangguan psikiatri  atau gangguan perkembangan yang mengakibatkan masalah dalam komunikasi dan kemahiran sosial. Ar. Noorhashimah tidak pernah menyalahkan takdir walaupun berasa amat berat untuk melunaskan tanggungjawab sebagai ibu yang membesarkan seorang anak autisme.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 4 2018)

Hantar Maklum Balas