AUTISME BUKANNYA KEKURANGAN TETAPI KEISTIMEWAAN

Home » Fokus » AUTISME BUKANNYA KEKURANGAN TETAPI KEISTIMEWAAN

Oleh Syazanna Hadenan

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu yang boleh saya katakan tatkala melihat anak autisme itu bermain bersama-sama keluarganya. Saya tidak menganggap anak autisme sebagai bebanan kepada mereka, namun saya percaya bahawa itu rezeki terbaik yang Allah kurniakan kepada mereka. Mereka ibu bapa yang kuat dan tabah menjaga, membesarkan, dan melindungi anak autisme ini. Saya percaya bahawa terlalu banyak ujian dan cabaran yang terpaksa dilalui sepanjang membesarkan anak ini. Namun demikian, ibu bapa tetap sabar dan kalis akan pandangan orang luar terhadap anak mereka. Kasih sayang terhadap anak autisme ini tidak pernah dibezakan berbanding dengan anak yang lain. Anak autisme ini memerlukan perhatian, kasih sayang lebih, dan pemahaman yang lebih daripada ibu bapa sendiri. Maka tidak hairanlah sekiranya anak autisme ini sering menjadi fokus utama dalam keluarga.

Teringat akan kali pertama pertemuan saya dengan anak autisme. Pada ketika itu, saya dan suami ke rumah pemilik rumah sewa, iaitu Kak Ros untuk membincangkan urusan rumah sewa. Kami dijemput masuk untuk berbincang. Usai perbincangan, anak Kak Ros turun dari tingkat atas untuk bermain di ruang tamu. Pada ketika itu, salah seorang anak Kak Ros begitu aktif dan bertenaga ketika bermain, namun saya hairan kerana dia kerap mengulangi perbuatan yang dilakukan. Anak kecil itu tanpa lelah terus berpusing mengelilingi meja kopi di bahagian ruang tamu. Sesekali ditegur dan dilarang oleh Kak Ros, namun tiada respons daripada anak kecil itu. Anak kecil itu terus mengulangi perkara yang sama tanpa rasa penat, sehinggalah suami Kak Ros datang dan mengambil si kecil itu.

Kami hanya melihat tanpa memikirkan apa-apa. “Anak saya itu anak autisme,” ujar Kak Ros. “Sebab itu dia terlalu hiperaktif dan tidak mempedulikan sesiapa. Memang penat menjaga anak istimewa ini, tetapi Kak Ros bersyukur kerana dikurniai anak syurga”.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 4 2018)

Hantar Maklum Balas