CATATAN PENULIS AUTISME

Home » Fokus » CATATAN PENULIS AUTISME

Oleh Haziq Ahmad Zaki Mohamad Zulkipli


Syukur Allah kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, saya masih dapat menghirup udara segar di bumi yang nyata ini, walaupun dilahirkan tidak sempurna seperti orang lain. Saya tergolong dalam kalangan insan istimewa. Tidak seperti orang lain, saya lahir tidak cukup bulan. Kebanyakan manusia lahir selepas sembilan bulan sepuluh hari, saya lahir hanya selepas lapan bulan sahaja. Saya disahkan menghidap autisme sejak berumur 13 tahun dan pada masa itulah, saya mempunyai “dunia” saya sendiri yang sangat indah. Pada masa itu jugalah, saya dihantar ke Sekolah Pendidikan Khas di Kuching untuk meneruskan pelajaran dalam tingkatan satu. Semasa di sekolah rendah, saya murid yang mempunyai “dunia”dan imaginasi yang luar biasa. Saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Jalan Astana, Petra Jaya dan sekolah tersebut merupakan sekolah bagi pelajar yang normal. Ada beberapa orang guru dan rakan saya pada masa itu menyatakan bahawa saya berkelakuan seperti “lain daripada yang lain.”

Saya amat meminati pemimpin dunia pada masa itu sehingga saya boleh menghafal nama mereka. Pada usia semuda itu, saya suka melihat rancangan “Jendela Dunia” yang mengisahkan senario politik dunia, pergelutan, serta keadaan alam di sekeliling kita. Saya suka melihat rancangan dan membaca buku tentang sejarah, geografi dan politik dunia, serta melihat ensiklopedia. Selepas tamat zaman persekolahan, saya melanjutkan pelajaran di Kolej Madrasah Al-Islamiah sehingga memperoleh Sijil Tsanawi IV dan diploma. Pada masa itu, saya dilantik menjadi ketua biro dakwah, ketua pelajar, dan ketua kelab bahasa dan sastera di madrasah tersebut.

Pada masa yang sama, saya menjadi guru agama di Sekolah Agama Rakyat Madrasah Al-Falah Al-Islamiah Kampung Pulo, Petra Jaya dan guru takmir di surau sebuah kampung di Kuching, sebelum melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah dalam bidang pengajian Islam. Kehidupan indah “dunia kanak-kanak” saya semakin mencabar apabila saya melanjutkan pelajaran pada peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Terbuka Malaysia. Pada ketika itu, beberapa orang masih tidak memahami autisme sehingga wujud istilah “tidak betul” atau “tidak normal” yang dilabelkan kepada golongan ini. Saya pernah dianggap seperti itu kerana “bercakap seorang diri”.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa bulan April Bil. 4 2018)


Hantar Maklum Balas