TUNISIA: MEDITERRANEAN DI BENUA AFRIKA

Home » Libur dan Rekreasi » Rakaman Pengembara » TUNISIA: MEDITERRANEAN DI BENUA AFRIKA

Oleh Siti Raba’ah Hamzah

Keunikan dan keistimewaan Tunisia ialah kedudukannya di kawasan cuaca Mediterranean. Tunisia terletak di utara benua Afrika, bersebelahan dengan Algeria di barat, Libya di selatan, dan berhadapan Laut Mediterranean di utara. Lebih satu per tiga daripada negara ini terletak di Gurun Sahara. Kedudukan ini memberikan keunikan berganda kepada industri pelancongan Tunisia, apalagi dengan percampuran budaya Rom, Arab dan Uthmaniah Turki yang mempamerkan pembangunan pelbagai budaya di negara ini. Penduduk Tunisa berjumlah 11 juta orang.

Keputusan mengembara ke Tunisia ialah keputusan yang tepat dan menguntungkan kerana kita bukan sekadar menikmati keindahan semula jadi yang menarik, malahan dapat merasai cuaca Mediterranean yang menyamankan. Setelah hampir lapan jam penerbangan dari Kuala Lumpur dan singgah sebentar di Jeddah, kami meneruskan perjalanan ke Tunis, ibu negara Tunisia.

Tunisia mendapat kemerdekaan daripada Perancis pada tahun 1956. Sehingga kini, Tunisia masih bergelut untuk meningkatkan ekonomi negara dengan hasil pertanian, terutamanya buah kurma. Tunisia juga terkenal dengan pengeluaran tekstil yang bermutu tinggi yang dieksport ke Negara Kesatuan Eropah. Tumpuan utama Tunisia kini ialah pembangunan infrastruktur dan bidang pendidikan.

Lima buah universiti yang terbaik dalam senarai universiti terbaik di benua Afrika terletak di Tunis. Antaranya termasuklah Universiti Tunis, Universiti Carthage, dan Universiti Tunis El-Manar. Rakyat Tunisia menggunakan bahasa Arab, bahasa Perancis, dan bahasa Berber dalam pertuturan harian mereka. Walau bagaimanapun, bahasa Inggeris ialah bahasa komunikasi utama mereka dengan pelancong asing.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 4 2018)

Hantar Maklum Balas