KESELAMATAN PEMAKANAN: ADAKAH MAKANAN ANDA SELAMAT UNTUK DIMAKAN?

Home » Fokus » KESELAMATAN PEMAKANAN: ADAKAH MAKANAN ANDA SELAMAT UNTUK DIMAKAN?

Oleh Hayati Adilin MAM, Noorazlin R, Noristisarah AS, Zuraini J, Siti Nadia H

MAKANAN ialah keperluan asas dalam kehidupan manusia dan berfingsi untuk memenuhi keperluan fizikal, fisologi, psikologi dan sosial. Makanan diperlukan untuk manusia bekerja dan melaksanakan kehidupan harian mereka. Selain itu, makanan membekalkan nutrient penting untuk keperluan pembesaran dan pertumbuhan badan. Kuantiti dan kualiti makanan juga sangat mempengaruhi tahap kesihatan individu. Namun begitu, pengambilan makanan yang kurang berkualiti dapat menjadi racun kepada manusia dan memudaratkan kesihatan. Makanan  yang tidak berkualiti termasuklah makanan yang tercemar dengan bawaan penyakit di dalamnya.

Makanan yang selamat dimakan ialah makanan yang disediakan atau diproses dengan piawaian kebersihan yang memuaskan, manakala makanan yang disediakan tanpa kawalan kebersihan menjadi satu daripada punca wabak penyakit bawaan makanan.

Wabak penyakit bawaan makanan sangat bahaya sehingga boleh menyebabkan kematian. Hal ini lazimnya dirujuk sebagai keracunan makanan dengan berdasarkan kadar inkubasi yang pendek, akut dan simptom klinikal yang sama. Makanan yang tidak bersih dan tercemar ini mungkin mengandungi bahan berbahaya atau bakteria yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan, dan penyakit kuning (Hepatitis A), yang boleh mengundang maut. Kes keracunan menjadi lebih parah apabila melibatkan banyak pihak, termasuk pengendali, pembeli atau pengunjung, yang mengurus atau memakannya tanpa menyedari makanan tersebut telah dijangkiti kuman.

Okijie dan rakan penyelidiknya menyatakan bahawa pengendali makanan di premis makanan menjadi aspek yang paling pneting semasa kerja penghasilan, penyediaan, dan pemprosesan untuk mengelakkan pencemaran makanan. Pengendali makanan didefinisikan sebagai individu yang terlibat semasa penyediaan, pemprosesan dan penghidangan makanan. Di samping itu, pengendali makanan sangat bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan makanan yang dihidangkan kepada pengguna. Pada kebiasaannya, kes keracunan makanan sering kali berlaku di premis makanan yang dikendalikan oleh pengusaha yang tidak mempunyai pengetahuan asas tentang kebersihan dan keselamatan makanan. Hal ini dbuktikan oleh kajian Toh dan Birchenough bahawa kebanyakan pengusaha di gerai makanan, termasuklah di pasar malam, yang kurang mempunyai penekanan dan pengetahuan tentang keselamatan makanan.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 5 2018)

Hantar Maklum Balas