TABIAT MAKAN REMAJA: MENCEGAH LEBIH BAIK DARIPADA MENGUBATI

Home » Fokus » TABIAT MAKAN REMAJA: MENCEGAH LEBIH BAIK DARIPADA MENGUBATI

Oleh Amirah Syazwani Baderol Sham

GAYA hidup zaman moden yang serba-serbinya pantas kini secara tidak langsung turut mengubah amalan dan gaya pemakanan masyarakat Malaysia, termasuklah golongan remaja. Pengambilan makanan yang tidak seimbang, terutamnya makanan yang diproses, sejak awal usia kanak-kanak lagi menjadi faktor bertambahnya bilangan mereka yang kegendutan dalam usia yang masih muda. Ironinya, kini masalah kesihatan dunia mengalami revolusi yang pada satu ketika dahulu, kebanyakan masyarakat mengalami masalah disebabkan kekurangan sumber makanan, tetapi situasi sebaliknya berlaku pada hari ini apabila masyarakat mempunyai masalah kesihatan sebagai akibat terlebih makan. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan daripada kita kini berpegang pada falsafah “makanlah selagi kita mempunyai sleera kerana jika sudah sakit dan sudah tidak berselera, semuanya tidak sedap dan tidak boleh dimakan.”

Isu obesiti dalam kalangan remaja Malaysia bukanlah lagi isu sejagat yang baharu. Isu ini kini dianggap sebagai penyakit kerana kegemukan boleh mengganggu dan mencederakan organ badan dan seterusnya menyebabkan masalah kesihatan yang serius. Di Malaysia, obesiti menjadi kebimbangan banyak pihak. Prof. Madya Dr. Poh Bee Koon dari Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Universiti Kebangsaan Malaysia, merangkap ahli majlis persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO), menyatakan bahawa 21.4 peratus remaja di kawasan luar bandar menghadapi masalah berat badan berlebihan. Pada hakikatnya, sebanyak enam peratus remaja telah dimasukkan ke hospital kerana diabetes dan angka ini smeakin meningkat saban tahun. Bukankah fakta ini membimbangkan kita?

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), obesiti bermaksud pengumpulan lemak badan berlebihan yang menjejaskan kesihatan. Pertubuhan ini menggunakan Indeks Jisim Tubuh (BMI) sebagai ukuran bagi menentukan sama ada seseorang itu berada dalam kategori obesiti ataupun tidak. Pakar pemakanan secara umumnya menjelaskan obesiti sebagai situasi yang terjadi disebabkan oleh ketidakseimbangan antara pengambilan makanan dengan penggunaan tenaga. Kebanyakan daripada masalah pbesiti berpunca daripada kelalaian gaya hidup harian, terutamanya dalam aspek jumlah pengambilan makanan. Remaja pula didefinisikan oleh WHO sebagai orang yang berumur antara 10 tahun hingga 19 tahun. Selain perubahan psikologi dan fizikal, pemakanan juga merupakan antara isu yang perlu diperhatikan bagi remaja kerana pertumbuhan individu banyak berlaku pada fasa ini.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 5 2018)

Hantar Maklum Balas