MISTERI LAUTAN BERCAHAYA

Home » Saintifik » Misteri Dalam Sains » MISTERI LAUTAN BERCAHAYA

Oleh Nur Azida Ishak

ALAM lautan menyimpan ribuan misteri yang tersembunyi dan mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Kewujudan pelbagai jenis hidupan laut mampu memperlihatkan keindahannya kepada sesiapa sahaja. Yang paling istimewa, terdapat beberapa lautan yang memiliki keindahan luar biasa kerana permukaannya yang bercahaya, laksana bintang-bintang di langit. Pantai Sam Mun Tsai di Hong Kong, Pantai Manly di Sydney, Pelabuhan Pandangbai di Bali, Kepulauan Vieques di Ouerto Rico, dan juga Kepulauan Vaadhoo di Maldives, merupakan antara kawasan yang mempunyai lautan bercahaya pada waktu malam.

Dari manakah datangnya cahaya dalam lautan laksana bintang yang bersinar terang? Secara saintifiknya, fenomena ini berlaku disebabkan kehadiran fitoplankton, sejenis organisma yang berupaya mengeluarkan cahaya sendiri. Cahaya biologi itu dipanggil sebagai pendarkilau (bioluminescence), iaitu bahan yang boleh menyimpan tenaga dan membebaskannya dalam bentuk cahaya. Pendarkilau merupakan hasil tindak balas enzim lusiferin-lusiferase dalam organisma tertentu. Antara organisma fitoplankton yang berupaya melakukannya ialah Noctiluca scintillans yang menghasilkan cahaya kebiru-biruan.

Istilah “plankton” dicipta oleh ahli zoologi dari Jerman yang bernama Victor Hensen pada 1887, diambil daripada Bahasa Yunani “planktos” yang bermaksud menghanyut atau mengembara. Hal ini merujuk kepada sekelompok organisma yang hidupnya mengapung, serta mempunyai kemampuan berenang yang terbatas sehingga menyebabkan selalu hanyut dibawa arus laut.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 5 2018)

Hantar Maklum Balas