SELENDANG

Home » Akademik » Ensiklopedia » SELENDANG

Selendang sehelai kain yang dipakai untuk menutup bahagian kepala. Adakalanya selendang dipakai sebagai pelengkap pakaian tradisional dengan disandang di atas bahu sebagai perhiasan sahaja. Ada juga selendang yang dipakai sebagai ikat pinggang. Selendang juga dikenali sebagai kain tudung kepala yang berbentuk tiga persegi atau empat persegi panjang.

Selendang mula dipakai oleh masyarakat Melayu pada abad ke-15 iaitu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Selendang berasal daripada sehelai kain kelubung atau kain sarung yang dikelubungi untuk melindungi atau menutup kepala dan muka. Selendang dipakai oleh masyarakat di Indonesia, Laos, dan kebanyakan negara dunia Melayu. Di negara-negara lain, selendang mungkin lebih awal dipakai kerana pemakaiannya telah diabadikan pada lukisan mural seperti di Thailand dan Myanmar. Kini, pemakaian selendang yang sama cara dan fungsinya adalah dalam kalangan orang Melayu Malaysia dan masyarakat kepulauan Indonesia, iaitu dari Pulau Jawa dan sebilangan daerah di Sumatera.

Di Alam Melayu, selendang berfungsi sebagai penutup kepala, penutup dada dan perhiasan. Seperti tudung, selendang juga berfungsi sebagai sehelai kain yang digunakan untuk menutup aurat seorang wanita Muslim. Walau bagaimanapun, dalam kalangan masyarakat Indonesia, selendang lebih berfungsi sebagai sehelai kain pelengkap pakaian atau perhiasan. Di Sumatera Barat, selendang dipakai di atas bahu sebelah kiri bersama baju kurung, manakala bagi masyarakat Minangkabau selendang dipakai di atas bahu dan diselempangkan serta diikat di pinggang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Mac 2012

Hantar Maklum Balas