SAHSIAH REMAJA CERMINAN MASA HADAPAN NEGARA

Home » Nota Editor » SAHSIAH REMAJA CERMINAN MASA HADAPAN NEGARA

Oleh Muhammad Lutfi Zahid

Setiap individu yang lahir di dunia ini memulakan kehidupan secara berperingkat-peringkat bermula dari peringkat bayi dan kemudiannya membesar menjadi kanak-kanak yang riang. Setelah berusia 13 tahun, berlakunya proses peralihan dari zaman kanak-kanak ke zaman remaja dan akhirnya dewasa. Dalam konteks peralihan usia ini, zaman remaja merupakan zaman yang paling mencabar yang perlu ditempuh oleh setiap insan, sebelum bergelar insan dewasa.

Secara umumnya, proses peralihan dari zaman kanak-kanak ke zaman remaja menjadikan remaja mengalami pelbagai perubahan dari sudut fizikal, mental dan emosi. Perubahan demi perubahan ini menyebabkan sesetengah remaja itu keliru dan tertekan, sehingga mengakibatkan mereka mengalami kecelaruan dalam segenap aspek kehidupan. Hal ini mengakibatkan sesetengah remaja cenderung untuk melakukan perkara di luar jangkaan, termasuklah memberontak, mengingkari arahan ibu bapa, dan menghadapi masalah.

Zaman remaja merupakan zaman yang paling kritikal dan juga berharga. Hal ini dikatakan demikian kerana zaman ini penuh dengan cabaran dan juga kegemilangan. Oleh hal yang demikian, remaja seharusnya tidak mensia-siakan usia remaja mereka dengan perkara yang negatif, bahkan perlu diisi sebaik-baiknya dengan perkara yang dapat membentuk pemikiran yang kritis dan keperibadian yang mulia. Sesungguhnya masa yang berlalu tidak akan kembali, begitu juga dengan usia remaja yang hadir hanya sekali dalam seumur hidup.

Dalam hasrat untuk membentuk pemikiran dan keperibadian yang terpuji, remaja perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh agar hasrat tersebut tercapai. Remaja perlu kembali kepada fitrah manusia sebagai hamba Yang Maha Esa. Golongan remaja yang berperwatakan terpuji sering mendekatkan diri kepada Tuhan dengan mentaati segala arahan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Dalam hal ini, melalui pembelajaran ilmu agama yang lebih mendalam, sudah tentunya remaja mendapat input yang berguna untuk dipraktikkan dalam kehidupan. Sebagai contohnya, tindakan mendalami ilmu tentang nilai keikhlasan, kegigihan dan kesabaran mampu untuk membina peribadi mulia dalam kalangan remaja.

Selain mentaati perintah Tuhan dan ajaran agama, remaja juga perlu taat kepada ibu bapa bagi membentuk pemikiran dan perwatakan yang mulia. Hargailah segala pengorbanan dan penat lelah ibu bapa yang berusaha untuk membesarkan anda bagai menatang minyak yang penuh. Penghargaan ini dapat dibuktikan oleh remaja melalui tingkah laku yang baik, melaksanakan segala arahan ibu baoa, dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang boleh mencemarkan nama baik ibu bapa. Sesungguhnya keredaan Tuhan terletak pada keredaan ibu bapa. Maka, berbaktilah kepada ibu bapa pada usia remaja.

Secara tuntasnya, usaha pembentukan akal dan sahsiah yang terpuji dalam kalangan remaja memerlukan komitmen yang tinggi oleh remaja itu sendiri. Hal ini amat penting bagi melahirkan remaja yang mampu berdepan dengan dunia hari ini yang penuh dengan pancaroba. Remaja merupakan pewaris negara, dan negara memerlukan pewaris yang mempunyai pemikiran dan perwatakan yang terpuji untuk mencorak pentadbiran negara pada masa hadapan.

***

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Encik Armin Azhari Saleh, Editor Kanan Dewan Siswa, yang akan meninggalkan majalah ini kerana dinaikkan pangkat. Marilah kita berdoa agar beliau terus berjaya dengan lebih cemerlang ketika melaksanakan tugas baharunya.

Selamat menyambut Aidilfitri 2018.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 6 2018)

Hantar Maklum Balas