MENGGILAP AKAL DAN SAHSIAH REMAJA

Home » Fokus » MENGGILAP AKAL DAN SAHSIAH REMAJA

Oleh Aminudin Mansor

AKAL merupakan anugerah Allah yang paling berharga. Manakala sahsiah  atau keperibadian dapat dibentuk melalui pendidikan oleh ibu bapa di rumah dan diperteguhkan oleh guru di sekolah. Watak dan perwatakan yang baik juga dapat dibentuk melalui pendidikan yang berkesan dan berterusan. Melalui pendidikan, akal dapat digilap ke arah kecemerlangan dan kejayaan dalam kehidupan. Akal atau minda yang beriman dan bertakwa dapat dibentuk dan dididik melalui pendidikan di rumah oleh ibu bapa. Hal ini disebabkan agama itu diibaratkan sebagai akal, dan tidak ada agama bagi sesiapa yang tidak berakal.

Akal yang sihat mampu dimiliki oleh setiap orang, terutamanya remaja, yang tidak mempunyai masalah seperti terbabit dengan penyalahgunaan dadah, berkelakuan ganas, atau ketagihan minuman keras. Dalam hal ini, akal itu diibaratkan umpama  payung, dan payung itu tidak berguna kalau tidak terbuka. Kesediaan dan kegiatan akal dikatakan mempunyai kaitan dengan tugas otak dan sistem saraf. Oleh sebab itu, pertumbuhan neurologi dan mental amatlah berkait rapat antara satu sama lain. Pertumbuhan akal dan perkembangan kebolehan mental merupakan faktor utama dalam pembentukan sahsiah remaja yang perlu dipertimbangkan oleh para pendidik ketika mereka merancang pengisian pendidikan yang akan dilaksanakan.

Potensi akal sangat jelas dan berkuasa dalam sesi pembelajaran dalam kelas. Apabila akal remaja tidak sempurna dan tidak sihat, maka hal ini memberikan kesan negatif dan menjejaskan potensi diri untuk mencapai kecemerlangan, terutamanya dalam peperiksaan penting di sekolah. Akal yang matang amat penting dalam proses pembelajaran. Selagi tidak wujudnya kematangan akal, selagi itulah kesan pembelajaran sukar untuk mencapai matlamat yang optimum dan berkesan.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 6 2018)

Hantar Maklum Balas