SAHSIAH UNGGUL MEMBENTUK PERSONALITI REMAJA

Home » Fokus » SAHSIAH UNGGUL MEMBENTUK PERSONALITI REMAJA

Oleh Muhammad Farkhan Kamarolzaman

DASAWARSA ini, dunia memperlihatkan arus kemajuan teknologi dan sains yang semakin deras. Negara-negara yang sedang membangun begitu pesat bersaing menuju ke arah sebuah Negara maju. Semuanya hanya ingin menjadi yang terbaik bagi memastikan kelangsungan hidup masa kini dan hadapan terpelihara. Seiring dengan perkembangan era globalisasi ini, hal ini memberikan kesan dan pengaruh yang kuat terhadap golongan remaja, tidak kira kesan positif atau negatif.

Dalam hal ini, pencapaian remaja kini boleh dibanggakan dengan berupaya untuk mencipta nama pada usia muda. Boleh dikatakan dalam setiap bidang pasti ada kejayaan yang dilakarkan oleh golongan remaja. Mereka kini lebih berani, berwawasan dan bercita-cita tinggi serta lantang menyuarakan pendapat. Pujian harus diberikan kepada golongan remaja sebagai tanda sokongan dan galakan untuk mereka agar lebih menonjol. Sebagai kontradiksinya, dalam diam ada perihal yang perlu dibimbangkan ekoran perkembangan dunia globalisasi kini yang kian memamah sahsiah remaja.

Dalam meniti kehidupan marcapada, remaja terdedah dengan pelbagai bentuk cabaran. Seperti mana yang sedia kita maklum, antara bentuk cabaran yang perlu dihadapi oleh remaja termasuklah pengaruh media massa dan media sosial , pengaruh rakan sebaya, konflik keluarga dan masyarakat sekeliling serta konflik isu semasa. Remaja kini tidak dapat lari daripada semua cabaran sehingga mempengaruhi setiap bicara serta tindak tanduk mereka. Kadangkala, mereka dilihat lantang bersuara tanpa memikirkan kesan atau pengaruh dari setiap bicara. Mereka juga lebih berani dalam membuat keputusan serta tindakan, namun tidak sedar ada akibat yang menunggu. Keperibadian remaja seolah-olah tidak seiring dengan kematangan usia mereka.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 6 2018)

Hantar Maklum Balas