USAH DINAFIKAN KEPENTINGAN SASTERA

Home » Nota Editor » USAH DINAFIKAN KEPENTINGAN SASTERA

Oleh Muhammad Lutfi Zahid

APAKAH itu sastera? Perkataan “sastera” sebenarnya berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu castra yang bermaksud kitab suci. Jika kita merujuk dalam Kamus Dewan edisi keempat, kesusasteraan pula membawa maksud hasil seni karya tulisan dalam bentuk prosa yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang tertentu. Sastera pada zaman dahulu yang terdiri daripada legenda dan mitos, berfungsi sebagai hiburan untuk masyarakat Melayu. Pada awalnya, sastera hanya disebarkan melalui percakapan atau lisan, dan akhirnya berkembang dalam bentuk penulisan mengikut peredaran zaman.

Kesusasteraan Melayu merupakan satu bidnag ilmu berbentuk kreatif yang mencakupi segenap perihal kehidupan masyarakat Melayu, termasuklah sejarah perkembangan bangsa, bentuk pemikiran, penciptaan karya sastera dan reaksi terhadap karya itu sendiri. Bidang keilmuan ini merupakan hak milik masyarakat Melayu dan “hidup”dalam diri mereka sejak dahulu lagi. Masyarakat Melayu pada zaman dahulu menjadikan nilai estetika dalam sastera sebagai panduan dan pedoman dalam kehidupan seharian mereka.

Namun begitu, dalam arus kemodenan dan kemajuan pada masa ini, kesusasteraan Melayu seakan-akan dilupakan dan dipinggirkan oleh setiap lapisan masyarakat. Sastera dianggap sebagai tidak penting dan tidak lagi dilihat sebagai pedoman dan panduan bagi sesetengah masyarakat Melayu. Yang sedihnya, ada segelintir masyarakat mengatakan bahawa nilai sastera, seperti puisi dan pantun, tidak boleh menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang maju. Malah, ada juga yang menyatakan bahawa kesusasteraan Melayu pada masa ini sudah tidak relevan dalam era ketamadunan yang serba moden.

Dalam hal ini, masyarakat seharusnya sedar bahawa sastera bukan sekadar prosa yang berbentuk cerita, puisi dan pantun semata-mata. Sesungguhnya sastera itu bersifat universal dan luas. Menurut Nisah Haron, sastera merupakan satu seni kata-kata bagi menyampaikan sesuatu yang berguna kepada tamadun, mendorong pembacanya untuk berfikir dan melakukan perkara yang positif. Setiap karya sastera itu sudah tentu mempunyai nilai jati diri, patriotisme dan rasa syukur.

Oleh sebab itu, apabila memperkatakan tentang kemajuan negara, masyarakat sepatutnya mengaplikasikan nilai-nilai positif sastera dalam usaha untuk mencapai impian sebagai negara maju. Tiada gunanya sesebuah negara itu maju, tetapai masyarakatnya tidak mengenali asal usul dan tidak mempunyai identiti tersendiri.

Secara tegasnya, hargailah dan selamilah nilai sastera kerana sastera merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia. Masyarakat Melayu khususnya, seharusnya mengangkat kesusasteraan Melayu dengan lebih tinggi dan usah dinafikan kepentingannya. Cari dan bacalah bahan bacaan kesusasteraan Melayu yang berkualiti serta boleh melahirkan rasa cinta dan syukur terhadap negara, bangsa dan agama.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 7 2018)

Hantar Maklum Balas