NILAI SASTERA MEMBENTUK DIRI REMAJA

Home » Fokus » NILAI SASTERA MEMBENTUK DIRI REMAJA

Oleh Dayang Sakini Mohd Kadri

SASTERA sering kali dikaitkan dengan sesuatu gaya bahasa atau keindahan yang terdapat dalam sesuatu bahasa. Menurut Kamus Dewan edisi keempat, sastera ditafsirkan sebagai bahasa yang digunakan dalam kitab. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa sastera ini dimiliki oleh orang yang berjiwa halus atau seni disebabkan asal perkataan ini daripada Bahasa Sanskrit yang bererti kitab suci. Walau dari mana pun asalnya, sedar atau tidak, sastera memainkan peranan penting dalam menentukan budaya dan nilai dalam masyarakat. Karya sastera juga tidak dapat lari daripada membawa nilai yang berkait dengan keagamaan, kebudayaan, dan kemasyarakatan. Persoalannya, adakah nilai sastera ini mendapat tempat dalam kalangan remaja masa kini?

Sastera remaja difahami sebagai karya sastera untuk bacaan para remaja yang berumur dalam lingkungan 13 tahun hingga 21 tahun. Seperti yang dijelaskan oleh Othman Puteh, seorang penulis tanah air, beliau berpendapat bahawa pertumbuhan dan perkembangan psikologi remaja dalam lingkungan usia tersebut amat relevan dengan pengamatan, pengalaman dan kreativiti daripada bahan bacaan sastera. Sejak peringkat sekolah menengah lagi, remaja didedahkan dengan karya sastera melalui teks KOMSAS, Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu. Pembelajaran sastera dalam kurikulum Bahasa Melayu bertujuan untuk membolehkan pelajar meningkatkan dan mengukuhkan minat membaca genre sastera seperti novel, cerpen, drama, prosa tradisional, puisi moden, dan puisi tradisional. Namun begitu, ternyata nilai sastera ini kurang mendapat tempat dalam kalangan remaja.

Satu kajian tentang keberkesanan pelaksanaan pendidikan sastera menerusi KOMSAS Tingkatan 4 dicatatkan dalam jurnal pendidikan menunjukkan bahawa hanya 35 peratus remaja gembira kerana berpeluang mempelanjari KOMSAS berbanding 65 peratus remaja yang tidak gembira mempelajarinya. Keadaan tersebut menunjukkan bahawa majoriti pelajar tidak menerima baik pembelajaran KOMSAS kerana mereka terpaksa mempelajarinya dan mengangapnya sebagai suatu yang membebankan.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 7 2018)

Hantar Maklum Balas