PAMUKKALE: KOTA YANG BERCERITA

Home » Libur dan Rekreasi » Rakaman Pengembara » PAMUKKALE: KOTA YANG BERCERITA

Oleh Ade Irma Suryani Che’ Leh

Perjalanan dari Bursa ke Pamukkale mengambil masa sekitar enam jam. Daerah itu terletak di tenggara Turki. Seusai bersarapan, penulis ini dan teman-teman bertolak meninggalkan kota itu agar sampai ke destinasi tepat seperti yang dijadualkan. Memandangkan masa perjalanan agak panjang, dapatlah kami melelapkan mata seketika untuk menghilangkan kebosanan. Dalam perjalanan, kami berhenti di beberapa buah tempat untuk bersolat dan makan tengah hari. Sewaktu singgah di hentian rehat dan rawat, kami dihidangkan dengan hidangan kebab dan salad yang sangat lazat dan menyelerakan.

Sementara ketika singgah untuk bersolat pula, penulis ini dan teman-teman sempat berbual mesra dengan anak-anak penduduk tempatan yang kebetulan berada di situ. Biarpun menggunakan bahasa ayam dan itik, namun kami tetap gembira dengan keramahan mereka.  Malah, anak-anak itu seronok kala kami menghulurkan sedikit wang sebagai tanda terima kasih kerana sudi bergambar.

Seharian berkelana, masing-masing sudah keletihan. Akhirnya, kami sampai di daerah Pamukkale. Cuaca masih cerah walaupun hari sudah hampir senja. Oleh itu, sempatlah kami melihat dari jauh keindahan “bukit kapas” yang juga merupakan sebuah tapak tamadun dunia. Kami meneruskan perjalanan ke hotel untuk berehat dan bermalam di sana. Sementara menunggu daftar masuk, penulis ini sempat berfoto di lobi hotel yang berkonsepkan Mediterranean. Pada malam itu, kebanyakan daripada kami mengambil peluang berehat. Sebahagiannya mengunjungi spa atau jakuzi yang disediakan percuma untuk pengunjung. Penulis ini pula lebih selesa melayani telefon untuk memaklumkan perkembangan terkini keadaan keluarga dan teman-teman di Malaysia.

Keesokan harinya, kami menjengah ke tapak tamadun dunia yang jarak masa perjalanannya sekitar 10 hingga 15 minit sahaja dari hotel penginapan. Tapak tamadun dunia ini terletak di lembah Sungai Menderes, iaitu antara Pamukkale dan Denizli. Seusai urusan pembelian tiket yang dibeli dengan harga 20TL (Turki Lira), kami menapak ke kawasan berkenaan. Perjalanan dari pintu masuk ke “bukit kapas” itu mengambil masa hampir setengah jam, melalui kota peninggalan tapak tamadun Hierapolis yang terkenal suatu masa dahulu.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 7 2018)

Hantar Maklum Balas