Budi Bahasa Budaya Kita

Home » Fokus » Budi Bahasa Budaya Kita

Oleh Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub

Budi Bahasa merupapakn abdomen penting dalam tubuh masyarakat. Jika abdomen budi Bahasa berfungsi dengan baik, sendi-sendi bangsa akan terjana dengan cekap dan mudah. Sekali gus, abdomen ini akan menjanakan enjin atau sistem serta unit lain seperti sel agama, tisu bangsa dan organ negara. Kompetensi utama ke arah menjanakan abdomen budi Bahasa adalah dengan pengamalan nila-nilai murni dalam teras kehidupan sarwajagat. Perkara utama yang menjadi nuansa antara individu ialah sikap dan pembawaan sahsiah diri.

Budi bahasa bertunjangkan kepada pembentukan akhlak dan moral yang sempurna. akhlak berasal daripada perkataan Arab bermaksud budi pekerti seseorang individu. Hal ini merujuk kelakuan atau watak serta gerak-geri. Istilah akhlak tidak membawa maksud kelakuan yang buruk atau sempurna, tetapi hanya membawa konotasi kelakuan sahaja. Istilah moral pula sentiasa dikaitkan dengan tingkah laku yang sesuai dengan peraturan dan norma masyarakat. Moral berasal daripada perkataan Latin, iaitu  moralis yang membawa maksud tingkah laku yang sejajar dan sesuai dengan tatasusila dan peraturan sesebuah induk masyarakat. Etika pula didefinisikan sebagai sains moral yang terdapat dalam masyarakat sama ada baik atau buruk. Perkataan etika ini berasal daripada Bahasa Greek, iaitu ethos yang bermaksud satu cara hidup atau satu susunan peraturan tingkah laku untuk melicinkan perjalanan sesuatu pentadbiran atau pengurusan seperti kod etika perguruan, perubatan, guaman, perakaunan dan lain-lain.

Seperti yang terkandung dalam prinsip kelima Rukun Negara, “kesopanan dan kesusilaan”, dua elemen ini saling berhubung antara satu sama lain. Kesopanan akan membuahkan bneih-benih kesusilaan. Buah kesusilaan yang mekar dan ranum akan memberikan kekuatan kepada perwatakan individu. Pengamalan nilai-nilai murni secara tuntas akan membentuk masyarakat yang dinamik dan progresif. Prospek pembangunan induk negara bukan bertunjangkan elemen fizikal, malahan bergantung kepada penerapan teras nilai-nilai murni dalam masyarakatnya.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 8 2018)

Hantar Maklum Balas