Patriotisme dalam Prinsip Kesopanan dan Kesusilaan

Home » Fokus » Patriotisme dalam Prinsip Kesopanan dan Kesusilaan

Oleh Suhaizi Suhaimi

Ketika 61 tahun yang lalu, laungan “Merdeka!”penuh bangga dan semangat oleh setiap warga yang melafazkannya boleh didefinisikan sebagai lambing kebebasan yang tiada tolok bandingnya. Walaupun rata-rata rakyat ketika itu mengetahui dan memahami bahawa cengkaman penjajah itu bukanlah “dileraikan” sepenuhnya, tersemat di dalam dada masing-masing yang sesungguhnya tanah yang dipijak bukan lagi milik bangsa asing. Tidak kira kaum, warna kulit, muda atau tua, laungan keramat itu benar-benar menyatupadukan hati dan sanubari warganya.

Walau bagaimanapun, pada tahun 1969, definisi “Merdeka!” yang difahami umum sebelumnya, seakan ditoreh dan disiat-siat untuk dijadikan “makanan” buat perosak negara bangsa dalam satu kejadian rusuhan kaum. Peristiwa hitam yang berlaku pada 13 Mei 1969 itu, menyaksikan pertumpahan darah serta menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara. Bertitik tolak daripada peristiwa ini, kerajaan mengambil langkah tegas untuk mencari formula bagi mengatasi masalah tersebut daripada berulang lagi.

Lantaran itu, Majlis Perundangan Negara telah ditubuhkan oleh Pengarah MAGERAN di bawah Undang-undnag Darurat yang diwartakan pada 29 Januari 1970. Anggota Majlis Perundangan Negara tersebut terdiri daripada seorang Pengerusi, iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak bin Hussein merangkap Pengarah MAGERAN, tiga orang menteri, iaitu Allahyarham Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman, mendiang Tun Tan Siew Sin dan Tun V.T Sambanthan, wakil kerajaan negeri dan wakil daripada parti politik. Tidak dilupakan juga, wakil daripada tokoh agama, badan profesional, perkhidmatan awam, kesatuan sekerja, wartawan, persatuan guru-guru dan wakil kumpulan-kumpulan kecil yang turut bersatu padu bagi mengekang fenomena ini daripada terus meranapkan perpaduan sesama rakyat. Setelah berbincang dan mengkaji secara mendalam selama beberapa bulan, Majlis Perundingan Negara telah merumuskan bahawa gagasan yang mampu mengatasi titik pemisah antara kaum perlu diwujudkan di negara ini. Berdasarkan keputusan tersebut, maka lahirlah Rukun Negara yang telah diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-4 pada 31 Ogos 1970, iaitu bersempena dengan sambutan Kemerdekaan Malaysia ke-13.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 8 2018)

Hantar Maklum Balas