Kembara Ilmu di London

Home » Libur dan Rekreasi » Rakaman Pengembara » Kembara Ilmu di London

Oleh Siti Rabaáh Hamzah

Kunjungan ke kota London pada musim luruh baru-baru ini mencipta sejarah bagi diri saya dan kumpulan mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) kerana dapat mengunjungi dua buah universiti tertua di eropah, iaitu Universiti Oxford dan Universiti Cambridge.

Kembara selama dua minggu ini sangat mengesankan jiwa kami. Selepas sehari menjejakkan kaki di London, kami memulakan kembara ilmu dengan mengunjungi Universiti Oxford. Universiti ini terletak lebih kurang 90 kilometre di uatara London dan di tengah-tengah bandar Oxford. Universiti yang ditubuhkan pada tahun 1096 ini merupakan universiti tertua di Eropah dan mempunyai 38 buah kolej serta 22 ribu orang pelajar. Oxford University Press pula merupakan penerbit yang terbesar di dunia dan terkenal dengan bahan penerbitan tentang hasil penyelidikan dalam bidang pendidikan dan bahasa Inggeris.

Dalam kembara ini, kami berpeluang menghadiri forum Muslim in Britain yang dikendalikan oleh Oxford Center for Islamic Studies. Dalam forum ini, kami dimaklumkan bahawa semakin banyak belia Inggeris yang berminat untuk mempelajari agama Islam sebagai cara hidup. Selesai menghadiri forum, kami mengunjungi kompleks bangunan Center for Islamic Studies yang baharu. Di bangunan ini, terdapat dewan kuliah, dewan makan, perpustakaan, bilik pensyarah, dan bilik penginapan pelajar pascasiswazah. Kami mengakhiri kembara di Universiti Oxford dengan berjalan menyususri beberapa buah fakulti, antaranya termasuklah Said Business School, Oxford University Press, Perpustakaan Bordelian, kedai buku dan kedai barangan cenderamata.

Kembara ilmu ini diteruskan dengan lawatan ke Universiti Cambridge yang terletak lebih kurang 80 kilometre di utara London. Universiti ini merupakan universiti kedua tertua selepas Universiti Oxford, yang mempunyai sejumlah hampir 25 ribu orang pelajar dan 10 peratus daripadanya ialah pelajar dari luar United Kingdom. Selain Universiti Oxford, Universiti Cambridge juga salah satu universiti penyelidikan yang terkemuka di dunia. Namun begitu, Universiti Cambridge menghasilkan lebih banyak jurnal yang berkualiti berbanding dengan Universiti Oxford. Pengajaran dan pembelajaran di Universiti Cambridge mengutamakan kaedah penyeliaan, berbanding Universiti Oxford yang mengamalkan kuliah dan tutorial.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 8 2018)

Hantar Maklum Balas