MENINGKATKAN NILAI TVET DALAM KALANGAN REMAJA

Home » Nota Editor » MENINGKATKAN NILAI TVET DALAM KALANGAN REMAJA

Oleh Muhammad Lutfi Zahid

Pengumuman pelantikan Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan dan Vokasional (TVET) oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, baru-baru ini dilihat mampu menyelesaikan banyak isu yang melibatkan pelaksanaan sistem pendidikan itu pada peringkat nasional. Jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, sudah tentunya perlu merencanakan perancangan yang rapi untuk menghadapi cabaran bagi melonjakkan pendidikan bidang teknikal dan vokasional ke tahap yang sewajarnya, memandangkan terdapat lebih setengah juta golongan belia berada di luar lingkungan pendidikan formal pada masa ini.

Masyarakat, khususnya golongan belia, yang terlibat dengan TVET pastinya menarik nafas lega dengan penubuhan jawatankuasa tersebut, memandangkan terdapat laporan yang menyatakan bahawa system pendidikan itu diselubungi oleh pelbagai permasalahan sebelum ini. Hal ini termasuklah isu keseragaman standard kualiti dan penilaian lepasan TVET yang melibatkan banyak kementerian dan agensi, sehingga menyebabkan ketidakselarasan sistem dan pendekatan terhadap TVET itu sendiri.

Pelaksanaan TVET yang melibatkan tujuh kementerian, termasuklah Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pertahanan, serta hampir 500 agensi di bawahnya, pastinya memberikan kesan terhadap kualiti pendidikan dan latihan yang diberikan keranan setiap kementerian mempunyai pendekatan yang berbeza-beza. Hal ini secara tidak langsung memberikan impak terhadap kualiti lepasan TVET yang dilahirkan untuk menampung keperluan industri.

Di samping itu, bagi menghadapi era Revolusi Perindustrian Keempat, pelajar TVET sewajarnya diberikan pengiktirafan pensijilan peringkat antarabangsa, selain sijil pada peringkat nasional. Melalui pengiktirafan ini, graduan lepasan TVET bukan sahaja berpeluang untuk berkecimpung dalam dunia perindustrian di Malaysia, bahkan turut berpeluang untuk bekerja di seluruh dunia. Hal ini sekali gus dapat meningkatkan kadar gaji yang diterima oleh lepasan TVET di negara ini kerana diiktiraf pada peringkat antarabangsa. Oleh itu, langkah pihak kerajaan untuk mempertimbangkan model pembelajaran TVET dari negara Eropah, seperti Jerman, baru-baru ini merupakan langkah yang tepat dan seharusnya dimanfaatkan oleh golongan belia.

Secara tuntasnya, pihak kerajaan, melalui Jawatankuasa Pemerkasaan TVET, wajar mengkaji perancangan dan langkah yang terbaik untuk memastikan TVET menjadi sistem pendidikan yang dianggap sebagai “berprestij” dan “berjenama”. Hal ini secara tidak langsung dapat menarik lebih banyak remaja untuk memilih TVET sebagai pilihan utama, seiring dengan usaha untuk membangunkan modal insan yang berkemahiran tinggi. Usaha untuk memperkasakan bidang kemahiran ini bukan sahaja terletak pada bahu pihak kerajaan semata-mata, bahkan setiap pihak-pelajar, ibu bapa, masyarakat, industri pendidikan, badan bukan kerajaan, dan pihak industri perlu bekerjasama demi melahirkan golongan belia yang berkemahiran bertaraf antarabangsa.

Selamat menyambut Hari Malaysia 2018.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 9 2018)

Hantar Maklum Balas