KEPENTINGAN TVET KE ARAH NEGARA MAJU

Home » Fokus » KEPENTINGAN TVET KE ARAH NEGARA MAJU

Oleh Jeniri Amir

Pada ketika ini, Malaysia hanya mempunyai kira-kira 30 tenaga kerja mahir. Hal ini berkaitan rapat dengan jumlah institusi yang terbabit, bilangan pelajar dan tahap minat mereka, serta tanggapan ibu bapa dan masyarakat terhadap pendiidkan teknikal dan vokasional di Negara ini. Kerajaan sebelum ini menyasarkan untuk meningkatkan bilangan tenaga kerja mahir kepada 35 peratus menjelang tahun 2020. Kementerian Pendidikan pada masa ini berusaha ke arah menjadikan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama pelajar, memandangkan kemahiran dan kepakaran dalam bidang tersebut amat diperlukan ketika negara ini menuju sebagai sebuah negara maju.

Pendidikan tektikal merujuk pengetahuan yang berkaitan dengan pembuatan barangan hasil industri seperti jentera, kenderaan dan bangunan. Pendidikan vokasional pula bermaksud pendidikan amali yang menitikberatkan kemahiran yang diperlukan untuk sesuatu pekerjaan. Jumlah pengambilan pelajar pendidikan teknik dan vokasional pada masa ini masih di bawah paras enrolmen yang disasarkan. Selagi keadaan ini tidak diperbetulkan, selagi itu matlamat untuk melahirkan jumlah sumber mahir yang mahir dalam bidang teknikal dan vokasional akan terbantut. Oleh itu, langkah bersepadu perlu dilakarkan agar masalah kekurangan pelajar terbabit dapat diatasi. Melentur buluh biar dari rebung. Minat pelajar terhadap TVET perlu disemai dan dibaja sejak di bangku sekolah rendah atau menengah lagi.

Pada hakikatnya, pendidikan TVET bukanlah sekadar bertujuan untuk memberikan latihan kemahiran kepada para pelajar, tetapi juga memberikan peluang kepada mereka untuk meneruskan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi. Pendidikan TVET perlu berubah dan berkembang mengikut arus semasa bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian yang maju, setanding dengan Negara Jerman, Jepun, dan Korea. Dalam hal ini, jika Malaysia mahu berada pada tahap penarafan yang teratas dari segi kemajuan dan perindustrian, sudah tentunya Negara tidak mempunyai pilihan yang lain, selain memperkasakan bidang ini dengan lebih serius. Antara langkah yang wajib diambil termasuklah memberikan tumpuan yang mendalam terhadap pemerkasaan TVET, dan memastikan minat seta bilangan pelajar yang mengikuti TVET terus meningkat dari tahun ke tahun.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil.9 2018)

Hantar Maklum Balas