AYUH PERKASAKAN BIDANG KEMAHIRAN!

Home » Fokus » AYUH PERKASAKAN BIDANG KEMAHIRAN!

Oleh Samat Buang

Usaha meningkatkan peratusan tenaga mahir di negara ini perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh memandangkan Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding negara lain pada masa ini. Sebelum ini, kerajaan menyasarkan untuk melahirkan 50 peratus tenaga mahir menjelang 2020, namun terpaksa dikurangkan kepada 35 peratus kerana junlah disasarkan itu sukar dicapai. Peratusan jumlah tenaga mahir di Malaysia snagat rendah, iaitu hanya 28 peratus berbanding dengan Finland yang mempunyai 100 peratus pekerja mahir, manakala Jerman sudah mencapai 80 peratus. Dalam hal ini, tanggungjawab memenuhi keperluan tenaga mahir bukan hanya tugas kerajaan semata-mata, malah memerlukan pelibatan semua lapisan rakyat Malaysia.

Di negara ini, bidang kemahiran tidak pernah dipinggirkan oleh pihak kerajaan. Pelibatan kerajaan Malaysia secara aktif dalam membangunkan orogram latihan teknikal dan vokasional secara berterusan sebagai usaha bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja yang berkemahiran melalui penubuhan beberapa institusi latihan. Usaha ini bertujuan untuk melahirkan pelajar yang berjaya dari segi pertukangan, pembinaan, pendawaian elektrik, dan bidang lain yang berkaitan. Bidang kemahiran merupakan “tempat” khas bagi mereka yang kurang berminat dalam akademik supaya golongan ini mempunyai pilihan untuk memajukan diri mereka meskipun tidak memiliki kelulusan tinggi.

Hasrat kerajaan untuk menjadikan negara ini maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 sememangnya memerlukan modal insan yang berkemahiran tinggi dalam bidang kemahiran dan teknologi. Transformasi pendidikan yang dilakukan oleh kerajaan dengan menaik taraf sekolah menengah vokasional dilihat sebagai salah satu usaha untuk menaik taraf status pelajar di sekolah vokasional. Dengan meningkatkan tahap kelulusan daripada sijil kepada diploma, mampu melonjakkan keyakinan pelajar aliran kemahiran yang selama ini sering merasakan bahawa mereka merupakan kumpulan pelajar kelas kedua berbanding dengan pelajar aliran akademik. Pelbagai perubahan dilakukan dari segi mutu pendidikan, prasarana, dan kurusus yang dilaksanakan agar standing dengan kolej lain, serta mampu melahirkan pelajar berkualiti selain memenuhi kehendak pasaran.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 9 2018)

Hantar Maklum Balas