Siswazah Berdaya Saing Mampu Atasi Pengangguran

Home » Nota Editor » Siswazah Berdaya Saing Mampu Atasi Pengangguran

Oleh Muhammad Lutfi Zahid

Perancangan penubuhan jawatankuasa khas oleh Kementerian Belia dan Sukan bagi memperhalus masalah pengangguran dalam kalangan belia, khususnya siswazah, di negara ini jelas menunjukkan keseriusan pihak kerajaan untuk menangani masalah ini bagi memastikan golongan ini memperoleh pekerjaan yang bermutu dan setimpal dengan kelayakan mereka.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, penubuhan jawatankuasa ini bertujuan untuk mengkaji faktor yang menyebabkan kadar pengangguran belia di Malaysia berada pada kadar tiga kali ganda daripada kadar pengangguran nasional. Antara faktor tersebut termasuklah pemilihan kerjaya yang tertentu dan penghijrahan belia ke luar negara untuk pekerjaan.

“Ada sesetengah belia di negara ini tidak mahu bekerja dalam sektor 3D, iaitu pekerjaan yang kotor, sukar dan berbahaya, dan ada juga sesetengah daripada mereka berhijrah ke luar negara, seperti Australia dan Korea Selatan, untuk mendapatkan pekerjaan dengan lebih mudah,” kata beliau pada sidang media ketika merasmikan Pameran Kerjaya dan Pascaijazah GRADUAN Aspire 2018 di KLCC baru-baru ini.

Pada pandangan penulis ini, kadar pengangguran yang meningkat dalam kalangan belia di negara ini mungkin disebabkan oleh kekurangan kemahiran untuk bekerja dalam sektor 3D atau penawaran kadar gaji yang rendah yang menyebabkan mereka berhijrah ke luar negara. Bagi mengatasi masalah ini, golongan belia, khususnya siswazah, seharusnya lebih proaktif untuk memajukan diri dengan mencipta sendiri peluang pekerjaan, seperti yang disarankan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau yang menekankan kepentingan hal tersebut dalam program Bicara Khas di saluran televisyen RTM baru-baru ini, menyarankan agar para siswazah lebih berdaya saing dan memainkan peranan untuk menggerakkan ekonomi negara dengan mencipta peluang pekerjaan sendiri, khususnya dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana. Hal ini secara tidak langsung dapat memberikan peluang pekerjaan kepada orang lain yang masih menganggur dan memajukan diri sendiri dalam bidang keusahawanan.

Oleh hal yang demikian, para siswazah, terutamanya yang masih menganggur, seharusnya menjadikan saranan menteri tersebut sebagai motivasi diri agar lebih berani untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan melalui sektor perusahaan dan perniagaan. Pihak institusi pendidikan juga perlu memainkan peranan untuk melahirkan mahasiswa yang berkemahiran dan berdaya saing, seiring dengan keperluan industri yang memerlukan tenaga kerja yang berkualiti dan bermotivasi tinggi.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 10 2018)

Hantar Maklum Balas