Pengangguran Siswazah: Antara Kecemerlangan Akademik dengan Kepelbagaian Kemahiran

Home » Fokus » Pengangguran Siswazah: Antara Kecemerlangan Akademik dengan Kepelbagaian Kemahiran

Oleh Abdul Halim Abdullah

Institusi pendidikan tinggi berperanan untuk menghasilkan modal insan yang dapat menyumbang ke arah pembangunan dan kelestarian kemajuan sesebuah negara. Pada masa ini, banyak forum, artikel dan pihak tertentu yang membincangkan peranan institusi pendidikan tinggi yang boleh bertindak sebagai medan untuk menghasilkan graduan yang boleh menyumbang kepada kemajuan sesebuah negara. Walau bagaimanapun, ketika tumpuan diberikan kepada peranan universiti dalam usaha menghasilkan modal insan yang berkualiti, peratusan pengangguran dalam kalangan siswazah di Malaysia terus menjadi isu yang hangat diperkatakan.

Menurut Jabatan Statistik Malaysia, kadar pengangguran rakyat Malaysia telah meningkat daripada 2.6 peratus pada tahun 1996 kepada 3.7 peratus pada tahun 2009 dan jumlah peratusan masih melebihi tiga peratus sehingga tahun 2018. Dalam kalangan siswazah pula, lima daripada 10 mereka yang menganggur berumur di bawah 24 tahun, dan daripada 25 peratus pemegang ijazah sarjana muda yang tidak bekerja, 52 peratus daripadanya berlatarbelaknagkan bidang sastera dan sains social. Lebih membimbangkan, berdasarkan jenis institusi pendidikan tinggi, 50 peratus daripada siswazah universiti awam dan 47 peratus siswazah daripada universiti swasta masih gagal mendapatkan pekerjaan.

Walaupun begitu, yang menariknya, 98 peratus siswazah dari poloteknik dan 99 peratus siswazah dari kolej komuniti dan institusi berteraskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berjaya mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian. Selain itu, terdapat juga bukti yang menunjukkan bahawa bilangan siswazah ynag menganggur di negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) bertambah setiap tahun sejak tahun 1996 hingga 2015. Menurut laporan “ASEAN Community 2015: Managing Integration for Better Jobs and Shared Prosperity,” kadaar pertumbuhan pekerjaan amat perlahan di ASEAN dalam beberapa tahun belakangan ini. walaupun pad atahun 2012 kadar pertumbuhan pekerjaan meningkat sebanyak 1.9 peratus, jumlah itu menurun kepada 1.5 peratus pada tahun 2013 dan angka ini tinggi sedikit berbanding dengan kadar global, iaitu sebanyak 1.4 peratus.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 10 2018)

Hantar Maklum Balas