PELAJAR DAN TEKANAN EMOSI

Home » Nota Editor » PELAJAR DAN TEKANAN EMOSI

Berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, dapatan kaji selidik menunjukkan bahawa 14.4 peratus remaja berusia 16 tahun hingga 19 tahun mengalami masalah kesihatan mental berbanding dengan golongan dewasa yang mencatatkan 11.2 peratus kes. Kajian itu juga menunjukkan bahawa secara keseluruhan, 11 peratus golongan muda berusia 16 tahun hingga 24 tahun pernah terfikir untuk membunuh diri.

Peratusan kes daripada hasil kajian tersebut yang secara relatifnya agak tinggi, sudah pasti membimbangkan kita semua. Hal ini perlu ditangani segera agar jumlah kes tidak terus meningkat hingga mengundang keadaan yang lebih serius berlaku. Oleh hal yang demikian, gejala masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja atau pelajar perlu ditangani dari awal. Tekanan emosi sekiranya tidak diuruskan pada peringkat awal, boleh menjadi parah dan seterusnya menular kepada masalah mental.

Memang tidak dinafikan bahawa zaman remaja ialah era peralihan dari alam kanak-kanak ke alam dewasa dan banyak perubahan dari segi perkembangan fizikal, kognitif serta emosi berlaku dalam tempoh ini. Tidak mustahil pada usia ini, remaja sering dikaitkan dengan jiwa yang cenderung untuk memberontak.

Apatah lagi, alam remaja merupakan tempoh yang mendedahkan mereka kepada banyak tekanan emosi. Tekanan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh faktor pendidikan kerana menduduki beberapa peperiksaan penting sepanjang usia remaja. Selain itu, remaja juga “terperangkap” dengan harapan ibu bapa yang terlalu tinggi, masalah kurang perhatian keluarga dan tahap keyakinan diri yang menurun.

Kita sering melihat tekanan sebagai masalah orang dewasa, tetapi hakikatnya perkara ini turut berlaku pada kanak-kanak dan remaja, justeru bayi mengalami tekanan juga. Bayi menangis, mungkin kerana lapar atau kembung perut, merupakan isyarat bahawa mereka mengalami tekanan. Cuma punca dan tahap tekanan mereka berbeza daripada orang dewasa dan remaja.

Oleh hal yang demikian, bagi memastikan tekanan emosi tidak menjadi lebih serius dan mengganggu kehidupan, hal ini perlu ditangani dan diuruskan dengan mengenal pasti puncanya terlebih dahulu. Apabila puncanya diketahui, lebih mudah untuk seseorang itu menguruskan masalah tekanan emosinya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

Hantar Maklum Balas