Peluang Kerjaya Siswazah Menganggur

Home » Fokus » Peluang Kerjaya Siswazah Menganggur

Oleh Syed Mahadzir Syed Ibrahim

Isu pengangguran dalam kalangan siswazah merupakan satu masalah besar, bukan sahaja kepada masa depan siswazah itu sendiri, tetapi juga kepada keluarga dan negara. Bagi mengatasi masalah ini, stigma lulusan universiti yang tidak layak bekerja sebagai petani, bekerja sebagai peniaga pakaian bayi secara dalam talian, jurujual di pusat beli-belah, dan pembawa kereta sewa, perlu diubah dan dilenyapkan daripada kamus minda.

Menurut Sistem Kajian Pengesanan Graduan, daripada 238 187 graduan menamatkan pengajian pada tahun 2017, seramai 54 103 menganggur dalam tempoh enam bulan selepas mereka menamatkan pengajian pada tahun 2017, seramai 54 103 menganggur dalam tempoh enam bulan selepas mereka menamatkan pengajian masing-masing. Hal ini menunjukkan bahawa kadar pengangguran dalam kalangan siswazah amat membimbangkan. Perlu diinsafi bahawa kadar pengangguran  yang tinggi merupakan suatu malapetaka besar, bahkan dianggap sebagai “tragedi nasional” bagi sesebuah negara.

Masalah pengangguran sudah tentu disebabkan oleh kemahiran insaniah yang kurang dimiliki dan dipamerkan oleh para siswazah masa ini. Begitu juga dengan kemahiran berkomunikasi, menurut laporan tahunan Bank Negara Malaysia 2016, 81 peratus graduan didapati tidak menguasai kemahiran berkomunikasi dengan baik, dan kurang 50 peratus graduan yang mempunyai pemikiran kritis, kebolehan menganalisis dan kemahiran menyelesaikan masalah dengan baik.

Hakikatnya, kadar pengangguran sebenar sudah tentu lebih tinggi lagi kerana pengangguran bukan sahaja terdiri daripada siswazah lepasan ijazah sarjana muda, tetapi termasuklah dalam kalangan pemegang ijazah sarjana dan kedoktoran, lepasan diploma daripada kolej, dan lepasan institusi kemahiran. Jika golongan ini gagal mendapatkan pekerjaan yang sesuai, dengan pendapatan yang setimpal, maka harapan Malaysia untuk mencapai status negara maju sukar terlaksana. Lebih teruk lagi, pengangguran bakal mengundang masalah sosial seperti kemiskinan dan jenayah dalam kalangan mereka yang menganggur akibat kesempitan hidup.

**

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil.10 2018)

Hantar Maklum Balas