Kembara Aidiladha di Bumi Kemboja

Home » Libur dan Rekreasi » Rakaman Pengembara » Kembara Aidiladha di Bumi Kemboja

Oleh Nor Amirah Ibrahim

Kenangan dan pengalaman tidak boleh dipisahkan daripada ingatan manusia, walaupun kadang-kadang sukar untuk digambarkan. Rentetan kejayaan diri ini bersama-sama rakan seperjuangan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam misi kembara di negara minoriti Muslim, Kemboja, maka terhasillah penceritaan dan pengalaman ini. Semoga memberi manfaat kepada semua yang membacanya. Bermula perjalanan saya dan kawan-kawan seperjuangan di USIM dalam misi Kembara Adha Bumi Kemboja 2017 pada bulan Ogos 2017, sebagai destinasi untuk program Global Islamic Students Outreach (GISO). Kembara ini disertai oleh 77 orang pelajar USIM, bersama-sama Pusat Pembangunan Kemahiran Ihsaniah, Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia dan wakil daripada akhbar Utusan Malaysia.

Tepat pukul 11.30 malam kami bertolak dari USIM bersama-sama kelengkapan barangan, makanan, sumbangan pakaian dan bantuan kepada saudara Muslim di Kemboja. Kembara pada kali ini menggunakan bas sebagai pengangkutan utama kerana bertepatan dengan nama program iaitu Kembara Adha Bumi Kemboja. Pada keesokannya, kami sampai ke sempadan Thailand melalui Padang Besar, Perlis. Kesempatan berada di negara orang dimanfaatkan dengan melihat pembangunan ekonomi Thailand yang pesat, yang tidak jauh bandingnya dengan Malaysia. Sistem pengangkutan jalan raya dan perubahan waktu sejam lebih awal terasa kekok untuk saya dan rakan-rakan membiasakan diri.

Kami selamat tiba di sempadan Kemboja setelah mengharungi perjalanan selama dua hari. Setibanya kami di sana, pihak urus setia dari Kemboja telah menyediakan pengangkutan khas untuk kami bergerak ke destinasi kami, Kampung Khla Kham Chke. Telatah kanak-kanak yang mahu ke sekolah dipimpin oleh ibu bapa mereka mencuit hati kami sementara menunggu bas bergerak. Para penjual pula, sibuk menguruskan kedai dan memberikan layanan baik kepada pelanggan mereka.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 10 2018)

Hantar Maklum Balas