PENTINGNYA PENDIDIKAN KEWANGAN DALAM KALANGAN REMAJA

Home » Nota Editor » PENTINGNYA PENDIDIKAN KEWANGAN DALAM KALANGAN REMAJA

Oleh Muhammad Lutfi Zahid

Setiap manusia di dunia ini pasti menginginkan kehidupan yang senang dan serba lengkap dalam segenap aspek, termasuklah dari segi kewangan. Tiada seorang pun individu yang mahu hidup pada zaman serba moden ini dalam keadaan serba kekurangan dan kesusahan. Walau bagaimanapun, faktor tekanan sosial dan tuntutan kehidupan pada masa ini yang memerlukan kos yang tinggi, seperti kos sara hidup dan harga barangan keperluan, menyebabkan sesetengah orang, khususnya remaja, menggunakan “jalan singkat” untuk mengatasi masalah ini.

“Jalan singkat” tersebut sudah tentunya melalui kaedah berhutang. Secara umumnya, amalan berhutang merupakan amalan yang diharuskan dalam agama Islam. Namun begitu, terdapat segelintir golongan remaja yang menyalahgunakan amalan ini demi memenuhi kehendak mereka sehingga menjadi “barah”. Yang sedihnya, amalan berhutang ini seolah-olah telah menjadi budaya dalam kehidupan sesetengah remaja, sehingga tidak berasa malu untuk meminjam wang daripada masyarakat sekeliling.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri menunjukkan bahawa amalan berhutang bukan sahaja menjadi budaya dalam kalangan golongan dewasa dan remaja, bahkan telah menular dalam kalangan kanak-kanak. Kajian yang dijalankan terhadap 800 orang murid Tahun 1 itu mendapati bahawa 80 peratus daripada murid tersebut pernah meminjam wang daripada rakan-rakan. Perkara ini sudah tentunya amat membimbangkan dan perlu diberikan perhatian yang serius supaya masalah ini tidak berlarutan sehingga mereka dewasa kelak.

Pada hakikatnya, amalan berhutang bukan sahaja memberikan impak negatif terhadap aspek kewangan seseorang, malahan turut memberikan kesan terhadap kesihatan. Hal ini dikatakan demikian kerana masalah kewangan dan hutang merupakan satu daripada punca seseorang itu mengalami masalah mental atau tekanan perasaan. Menurut kajian, amalan berhutang yang semakin membimbangkan ini menyebabkan rakyat Malaysia menjadi penanggung hutang yang paling tinggi di Asia. Maka itu, tidak hairanlah satu daripada tiga orang rakyat Malaysia mengalami masalah mental akibat masalah hutang yang tinggi.

Sebagai kesimpulannya, golongan remaja seharusnya tidak mengambil jalan mudah dalam aspek pengurusan kewangan. Hal ini penting bagi mengelakkan mereka daripada terperangkap dengan masalah hutang yang tinggi, yang akhirnya menjadikan mereka muflis. Pendidikan pengurusan kewangan yang berkesan sudah pasti dapat membantu golongan remaja mendepani tuntutan kehidupan pada masa ini yang memerlukan kos yang tinggi, seiring dengan situasi ekonomi global yang semakin mencabar. Sesungguhnya, tiada “jalan singkat” untuk menguruskan kewangan dengan berjaya.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 11 2018)

Hantar Maklum Balas