REMAJA DAN KEPENTINGAN PENGURUSAN KEWANGAN

Home » Fokus » REMAJA DAN KEPENTINGAN PENGURUSAN KEWANGAN

Oleh Noor Azam Abdul Rahman

Mungkin kebanyakan remaja menganggap pengurusan kewangan merupakan perkara remeh yang tidak perlu dimasukkan dalam nota penting perancangan masa depan. Mungkin juga bagi remaja, aspek membina kerjaya yang hebat serta mendapat perhatian ahli masyarakat itu lebih bermakna daripada merancang sumber kewangan yang diperoleh untuk dibelanjakan.

Secara umumnya, sebilangan besar remaja di Malaysia lebih cenderung menggunakan sumber kewangan yang diperoleh ke arah perkara yang berbentuk kepuasan diri melebihi aspek kemampuan kewangan mereka. Hal ini telah didedahkan melalui laporan Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tahun 2012 sehingga tahun 2016 yang mendapati lebih 97 ribu kes kebankrapan (muflis) diisytiharkan oleh mahkamah. Lebih membimbangkan, statistik ini mencatatkan 23.2 peratus daripada jumlah keseluruhan yang diisytiharkan muflis terdiri daripada mereka yang berumur 34 tahun sehingga 25 tahun. Manakala sejumlah 1157 ataupun 1.2 peratus daripada jumlah tersebut dalam kalangan yang berumur 25 tahun ke bawah.

Data tersebut perlu diambil perhatian oleh semua pihak, sama ada ibu bapa, majikan, pihak berkuasa, malah golongan remaja sendiri. Laporan Jabatan Insolvensi Malaysia juga menyatakan bahawa antara punca utama remaja yang telah diisytiharkan muflis pada tahun yang dinyatakan itu termasuklah untuk memenuhi keinginan peribadi yang melebihi sumber kewangan. Laporan Jabatan Insolvensi Malaysia ini menjelaskan tiga jenis pinjaman yang menjadi faktor utama remaja muflis ialah pinjaman sewa beli kenderaan, pinjaman peribadi dan pinjaman perumahan. Data menunjukkan 69.8 peratus individu yang diisytiharkan muflis oleh mahkamah berpunca daripada kegagalan menjelaskan hutang bagi tiga jenis pinjaman tersebut. Berdasarkan definisi Jabatan Insolvensi Malaysia, kebankrapan (muflis) merujuk proses seorang penghutang yang telah diisytiharkan muflis oleh mahkamah tinggi kerana kegagalan atau ketidakupayaan untuk membayar hutang sekurang-kurangnya RM30 ribu.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil.11 2018)

Hantar Maklum Balas