GOLONGAN MUDA DAN AMALAN BERHUTANG

Home » Fokus » GOLONGAN MUDA DAN AMALAN BERHUTANG

Oleh Muhammad Farkhan Kamarolzaman

Pada masa ini, golongan muda, terutama bagi yang sudah berkerjaya, gemar hidup secara bermewah-mewah dengan berhutang melebihi pendapatan bulanan mereka. Walaupun baru setahun jagung bekerja, golongan ini sudah berangan-angan untuk membeli kereta mewah, menggunakan kad kredit secara berlebih-lebihan dan membeli pakaian yang berjenama. Maka, tidak hairanlah golongan yang baru bekerja ini menghadapi masalah kewangan yang serius berbanding dengan golongan lain disebabkan perbelanjaan yang tidak terkawal.

Dalam aspek pengurusan kewangan, apabila seseorang itu menggunakan 30 peratus daripada gaji bulanan untuk membayar hutang, mereka sudah dikira mempunyai masalah kewangan yang serius. Statistik yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia menunjukkan bahawa 47 peratus belia di Malaysia menanggung hutang kad kredit yang tinggi, manakala 38 peratus pula membuat pinjaman peribadi. Daripada statistik ini, kira-kira 3400 individu yang berusia antara 20 dan 30 tahun telah mendapatkan khidmat kaunseling dan bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) akibat tidak mampu menyelesaikan masalah hutang mereka.

Situasi tersebut jelas menunjukkan golongan muda di Malaysia masih lemah dalam aspek pengurusan kewangan harian mereka, terutamanya dalam bentuk pembiayaan secara berhutang. Walaupun agama Islam mengharuskan amalan berhutang, namun hal ini tidak bermaksud menggalakkan umatnya untuk berhutang dan membuat pinjaman kewangan secara melampau. Golongan muda perlu bijak mengawal “nafsu” untuk berbelanja bagi sesuatu tujuan melebihi keperluan asas supaya tidak terperangkap dalam beban hutang yang dicipta sendiri. Hal ini penting agar dapat mengelakkan mereka daripada terjerat dengan masalah hutang sehingga jatuh muflis.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 11 2018)

Hantar Maklum Balas