MANFAATKAN PENGIKTIRAFAN KUALA LUMPUR SEBAGAI IBU KOTA BUKU DUNIA

Home » Nota Editor » MANFAATKAN PENGIKTIRAFAN KUALA LUMPUR SEBAGAI IBU KOTA BUKU DUNIA

Oleh Muhammad Lutfi Zahid

Penganugerahan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia tahun 2020 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) baru-baru ini sudah tentunya memberikan khabar gembira untuk seluruh rakyat Malaysia dan memberikan kepuasan terhadap pihak yang berusaha bersungguh-sungguh membida status bertaraf dunia ini. Kumpulan maklumat acara dan agenda perbukuan negara yang disediakan oleh secretariat yang dipengerusikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, berjaya meyakinkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan UNESCO untuk memilih Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia bagi tahun 2020, mengatasi permohonan dari bandar Nanjing, China dan Saint Petersburg, Rusia.

Pengiktirafan ini sudah semestinya memberikan nafas baharu kepada industri perbukuan negara yang dilihat semakin “sunyi” pada masa ini. Hal ini dikatakan demikian kerana pada era ini, penerbitan buku seolah-olah dilupakan dan dibaikan kepentingannya, walhal ukuran bagi sebuah negara maju yang ditetapkan oleh UNESCO ialah jumlah penerbitan buku setiap tahun, iiatu 1000 judul buku baharu bagi setiap sejuta penduduknya. Oleh hal yang demikian, penganugerahan ini pastinya membuka jalan dan peluang baharu kepada para menerbit dan karyawan untuk terus berjuang menghasilkan buku yang berkualiti, seterusnya membuka mata dunia tentang keistimewaan Kuala Lumpur sehingga dipilih sebagai Ibu Kota Buku Dunia.

Kuala Lumpur merupakan bandar raya ke-20 yang dipilih sebagai Ibu Kota Buku Dunia dan yang kedua di Asia Tenggara selepas Bangkok. Pada hakikatnya, Kuala Lumpur cukup terkenal dengan aktiviti perbukuannya. Antara aktiviti¬† tersebut termasuklah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Pesta Buku Big Bad Wolf, pameran perdagangan hak cipta dan kempen membaca. Namun begitu, kehangatan aktiviti tersebut hanyalah pada waktu tertentu sahaja, dan bukannya dijalankan sepanjang tahun. Oleh sebab itu, diharapkan agar penganugerahan ini dapat memeriahkan semula industri perbukuan negara yang selama ini dikatakan “sunyi”.

Pengiktirafan daripada UNESCO ini tidak seharusnya dilihat kepada anugerah status kepada negara tertentu semata-mata, tetapi sebenarnya memberikan seribu makna kepada bandar yang terpilih. Pengiktirafan bandar Conakry sebagai Ibu Kota Buku Dunia pada tahun 2017 misalnya, mengubah landskap “sepi” bandar tersebut menjadi sebuah bandar yang menjadi dengan pelbagai acara dan pesta. Ibu kota negara Guinea itu dipenuhi dengan aktiviti pembacaan buku dan puisi, malah setiap bangunan dihiasi dengan lukisan mural bertemakan puisi dan penulisnya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa penganugerahan tersebut menghidupkan kembali budaya dan tradisi bandar Conakry, yang sebelum ini seolah-olah “mati”.

Maka itu, setiap pihak -kerajaan, sekolah, ibu bapa dan masyarakat – sewajarnya mengambil kesempatan terhadap pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia dengan menyuburkan sikap cinta terhadap ilmu melalui pembacaan buku. Ambillah peluang keemasan ini sebagai dorongan untuk membudayakan amalan membaca yang bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada diri dan masyarakat, bahkan dapat mempamerkan kekayaan budaya, seni dan ilmu kita kepada dunia.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 12 2018)

Hantar Maklum Balas