HIASI DIRI DENGAN SIKAP MALU

Home » Jati Diri » Islam dan Anda » HIASI DIRI DENGAN SIKAP MALU

Oleh LOKMAN ISMAIL

Maksiat dan kejahatan semakin menjadi-jadi. Pelakunya tidak ada perasaan malu melakukan perbuatan yang secara terang-terang menyalahi hukum agama dan undang-undang negara. Apabila hilang perasaan malu, maka berleluasalah kemungkaran.

Sifat malu satu cabang iman. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim dan Tirmizi bermaksud, “Malu itu sebahagian daripada iman.”

Oleh itu, perasaan malu menjadi perisai diri untuk mengelak daripada melakukan perbuatan dosa kerana mendatangkan aib kepada diri sendiri.

Seseorang yang mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang memalukan akan mendapat balasan kebaikan. Tindakan itu dapat mengelakkan diri daripada menanggung malu sesama manusia dan ketika mengadap Allah pada hari pengadilan.

Ironinya, ada orang bermegah-megah melakukan perbuatan dosa dan berasa berat untuk melakukan kebaikan. Dosa dan kejahatan yang sudah sebati dalam diri menyebabkan seseorang itu tidak mempunyai perasaan malu lagi.

Sikap berhati-hati dan keimanan yang tinggi dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang memalukan. Bagi orang peka dan mempunyai maruah, setiap perbuatan memalukan, tidak kira kecil atau besar, pasti dielakkan.

Muslim yang mempunyai perasaan malu tidak tertarik dengan tipu daya kehidupan. Dia lebih memikirkan kesan malu yang bakal ditanggung dan pembalasan daripada Allah. Setiap kesalahan dan dosa akan diperlihatkan di akhirat nanti, biarpun perkara yang dapat disembunyikan di dunia.

Sesiapa yang melakukan perbuatan sesuka hati tanpa perasaan malu, berasakan dirinya berkuasa dan tidak perlu mengambil kisah tentang orang di sekelilingnya. Kejahatan dan dosa yang dilakukan dianggap satu kemegahan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

Hantar Maklum Balas