PUPUK BUDAYA KREATIF DAN INOVATIF DALAM KALANGAN PELAJAR BERKEPERLUAN KHAS

Home » Nota Editor » PUPUK BUDAYA KREATIF DAN INOVATIF DALAM KALANGAN PELAJAR BERKEPERLUAN KHAS

Oleh Muhammad Lutfi Zahid

Pendidikan merupakan keperluan utama bagi setiap manusia dan agenda utama bagi pembangunan sesebuah negara. Setiap individu pastinya mengalami proses pendidikan sejak lahir ke dunia ini sehinggalah dewasa, sama ada disedari secara langsung atau tidak langsung. Maka itu, penyediaan pendidikan yang berkesan dan bersesuaian dengan keperluan individu juga amat penting, khususnya bagi individu yang berkeperluan khas seperti pelajar pendidikan khas dan pemulihan khas, untuk memastikan mereka tidak terpinggir dan mendapat pendidikan yang sama seperti masyarakat lain.

Dalam usaha untuk mendidik dan meningkatkan keupayaan pelajar berkeperluan khas, pendekatan yang digunakan seharusnya lebih bersifat kreatif dan inovatif berbanding dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran pelajar normal yang lain. Menurut statistic yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, jumlah pelajar berkeperluan khas di seluruh negara berjumlah hampir 80 ribu orang pelajar. Statistik tersebut jelas menunjukkan bahawa kepentingan pendidikan yang berkesan terhadap pelajar berkeperluan khas ini tidak seharusnya diabaikan.

Secara umumnya, nilai kreatif dan inovatif ini bukanlah seperti subjek mata pelajaran yang boleh diajarkan di dalam kelas. Kreativiti dan inovasi merupakan suatu nilai yang hanya dapat diterapkan secara tidak langsung dalam diri setiap pelajar melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang terancang. Oleh sebab itu, nilai ini seharusnya dipupuk dalam kalangan pelajar berkeperluan khas ini sejak dari awal, terutamanya dari segi kemahiran vokasional dan social. Hal ini bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri mereka apabila berhadapan dengan masyarakat luar dan keupayaan untuk berdikari, serta menguruskan diri sendiri apabila tamat zaman persekolahan.

Dalam hal ini, antara kegiatan yang dapat menjana kreativiti dan inovasi dalam diri pelajar ini termasuklah pendedahan kemahiran seperti pembuatan kraf tangan dan bermain alat muzik. Hal ini dikatakan demikian kerana aktiviti ini dapat merangsang minda dan mengasah kemahiran berfikir pelajar ini ketika melakukan aktiviti tersebut. Di samping itu, melalui kemahiran pembuatan kraf tangan misalnya, mereka dapat menjana pendapatan tambahan dengan menjual hasil kraf tangan tersebut. Hal ini secara tidak langsung dapat memotivasikan pelajar berkeperluan khas ini untuk terus mengasah kreativiti dan membudayakan inovasi dalam diri mereka.

Secara tuntasnya, budaya kreatif dan inovatif ini bukan sahaja perlu dipupuk dalam kalangan guru, bahkan juga amat penting terhadap pelajar berkeperluan khas untuk berhadapan dengan dunia luar yang mencabar. Kerjasama antara semua pihak amat diperlukan untuk memupuk nilai kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar berkeperluan khas ini agar mereka dapat memajukan diri sendiri, seterusnya berbakti kepada bangsa dan negara.

Selamat tahun baharu 2019.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 1 2019)

Hantar Maklum Balas