MANFAATKAN PENGGUNAAN MEDIA KONVENSIONAL DAN MEDIA BAHARU

Home » Nota Editor » MANFAATKAN PENGGUNAAN MEDIA KONVENSIONAL DAN MEDIA BAHARU

Oleh Muhammad Lutfi Zahid

PADA zaman ledakan teknologi yang begitu pesat ini, masyarakat semakin cenderung untuk melakukan setiap perkara dengan pantas dan mudah. Tidak kira sama ada ketika memandu, membeli-belah atau mendapatkan makanan, semuanya perlu dilakukan dengan cepat dan mudah. Perubahan pola kehidupan masyarakat yang serba pantas ini disebabkan oleh kepesatan perkembangan arus kemodenan, yang menuntut mereka maju ke hadapan dengan lebih cepat agar tidak ketinggalan.

Seperti yang diketahui umum, media merupakan satu daripada penyebar maklumat yang terpenting dalam kalangan masyarakat. Kepentingannya sebagai saluran maklumat ini dibuktikan dengan wujudnya pelbagai syarikat penyiaran di Malaysia. Dalam era serba pantas ini, perkembangan teknologi turut memberikan kesan terhadap media, sehingga munculnya media baharu, iatu rangkaian media sosial. Kemunculan media baharu ini sudah tentunya menyebabkan media konvensional, iatu televisyen, radio dan surat khabar, semakin terhad penggunaannya dalam kalangan masyarakat.

Tidak dinafikan bahawa media baharu berupaya “menyajikan” pelbagai maklumat kepada masyarakat dengan lebih cepat, berbanding dengan media konvensional. Malah, capaian maklumat daripada media baharu ini juga berganda lebih mudah berbanding dengan media konvensional yang memerlukan medium tertentu untuk mendapatkan sesuatu maklumat. Maka itu, tidak hairanlah jika sesetengah masyarakat pada masa ini sudah memandang media konvensional ini dengan sebelah mata dan menjadikan media baharu sebagai rujukan utama mereka.

Walau bagaimanapun, kemudahan dan kepantasan capaian maklumat daripada media baharu ini sudah tentunya mempunyai implikasi yang negatif terhadap masyarakat. Kebanjiran maklumat yang tidak tepat dan kebebasan menyebarkan komen berbaur penghinaan di laman sosial misalnya, merupakan kesan negative daripada penggunaan media sosial. Hal ini berbeza pula dengan maklumat yang diperoleh daripada media konvensional, yang lebih dahulu disaring dan ditapis ketepatan kandungannya, sebelum disebarkan kepada umum.

Kes penghinaan Sultan Muhammad V di media sosial berkaitan dengan peletakan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini, merupakan contoh kesan negatif akibat daripada penyalahgunaan media sosial. Dalam kes tersebut, tiga individu telah ditahan untuk disiasat oleh Polis Diraja Malaysia selepas pihaknya menerima laporan berhubung tindakan memuat naik komen yang berbaur penghinaan terhadap baginda. Kes ini jelas membuktikan bahawa media sosial tidak seharusnya dijadikan sebagai rujukan utama untuk mendapatkan atau menyampaikan maklumat, memandangkan medium ini sudah “dicemari” dengan pelbagai kesan negatif.

Secara tuntasnya, media berperanan untuk membicarakan pengisian isu semasa, mencorakkan pemikiran dan membentuk jati diri masyarakat melalui penyebaran maklumat yang tepat dan lengkap. Meskipun media baharu dapat menyampaikan maklumat dengan cepat dan mudah, namun kredibiliti media konvensional sebagai medium yang paling diyakini dan dipercayai, sudah tentunya tidak dapat dipertikaikan. Dalam hal ini, tidak kira menggunakan media konvensional atau baharu bagi mendapatkan sesuatu maklumat, semuanya bergantung pada diri masing-masing, sama ada memilih untuk mendapatkan manfaat atau sebaliknya.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 2 2019)

Hantar Maklum Balas