Kreatifkan Dirimu …

Home » Nota Editor » Kreatifkan Dirimu …

Statistik menunjukkan sebanyak 467 970 orang pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sebanyak 53 674 orang pelajar menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada 2010. Keputusan peperiksaan SPM 2010 yang diumumkan pada 2011 mencatatkan 368 559 orang calon memperoleh sijil, manakala 9239 orang calon cemerlang. Keputusan peperiksaan STPM 2011 pula merekodkan sebanyak 46 780 orang calon lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran. Selanjutnya, rekod Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan pada 2011 sebanyak 40 506 orang pelajar diterima masuk ke institusi pengajian tinggi awam seluruh negara.

Secara perbandingan, data ini menggambarkan persaingan yang semakin sengit dalam dunia pendidikan negara. Namun, cabaran yang lagi hebat menanti remaja adalah apabila melangkah keluar dunia realiti mencari ruang dan peluang pekerjaan.

Di sinilah letaknya kepentingan potensi seni kreatif dalam diri remaja. Akademik sememangnya menjadi tunjang utama kejayaan seseorang remaja. Namun keterampilan individu akan lebih menyerlah dengan penglibatan dalam bidang sukan, seni dan budaya. Dalam sistem pendidikan di Barat, tiga elemen ini amat dititikberatkan kerana akan melahirkan remaja yang memiliki tahap kompetensi yang tinggi bagi membolehkan mereka menghadapi apa-apa jua cabaran yang datang.

Oleh hal yang demikian, fokus bulan ini cuba memberikan perspektif baharu kepada pembaca tentang kepentingan seni kreatif untuk melahirkan generasi remaja yang cemerlang dan berdaya saing. Dalam konteks ini, kerajaan menggalakkan remaja

untuk sentiasa berfikir di luar kotak, memiliki daya inovatif dan berani menonjolkan kreativiti diri. Bagi merealisasikan cita-cita tersebut, kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2012 akan terus menyemarakkan program budaya inovasi dan kreatif ini menerusi Yayasan Inovasi Malaysia.

Tuntasnya, data persaingan di atas sewajarnya menjadi penanda aras kepada remaja untuk mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran insaniah. Hal ini penting bagi menjamin remaja mampu bersaing sama ada pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Remaja yang kreatif sentiasa menjanakan idea-idea yang di luar kotak, yang boleh dikomersialkan dan pulangannya dinikmati sendiri oleh remaja.

Kreatifkan dirimu …

Seni Kreatif Citra Keperibadian Unggul

-Abdul Ghani Abu

Hantar Maklum Balas