BUKIT CHANDAN

Home » Akademik » Ensiklopedia » BUKIT CHANDAN

Bukit Chandan terletak di daerah Kuala Kangsar, Perak, merupakan kawasan kediaman Sultan Perak sejak abad ke-19. Apabila Sultan Idris Mursyidul Azam Syah ditabalkan sebagai Sultan Perak yang ke-28 pada tahun 1887, baginda memilih puncak bukit ini menjadi tempat baginda bersemayam. Bukit Chandan terus menjadi pusat pentadbiran Kesultanan Melayu Perak hingga hari ini.

Sebelum Sultan Idris menaiki takhta kerajaan, negeri Perak diperintah oleh Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Syah (1877 – 1887). Pusat pemerintahan baginda adalah di Kota Sayong, bertentangan dengan Bukit Chandan di seberang Sungai Perak. Oleh sebab kawasan tersebut sering dilanda banjir, Sultan Idris memilih puncak bukit berhampiran Batang Hari.

Menurut cerita, bukit ini diberikan gelaran “Seri Andalan”, tetapi akhirnya Sultan Idris memilih nama Bukit Chandan sempena nama seekor gajah Sultan Yusuf yang bernama Kulup Chandan. Kononnya, pada suatu hari Kulup Chandan terlepas lari, dan Sultan Idris yang ketika itu menjadi Raja Muda telah mengekorinya sehingga sampai di kaki Gunung Babu.

Setibanya di sana, Sultan Idris bertemu dengan seorang tua yang berjanggut serta memakai jubah putih. Orang tua itu terus menghampiri baginda dan menyatakan bahawa baginda akan menaiki takhta kerajaan negeri Perak, dan apabila ditabalkan kelak baginda hendaklah membina istana di atas bukit berhampiran Batang Hari dan bukan di Sayong. Kulup Chandan hendaklah dibebaskan selepas tujuh hari baginda ditabalkan.

Perkembangan bandar Kuala Kangsar mempunyai hubung kait yang amat rapat dengan peranan Bukit Chandan sebagai pusat pentadbiran Kesultanan Melayu Perak. Sultan Idris banyak membawa pembaharuan kepada negeri Perak, khususnya dalam sistem pendidikan negara. Antaranya termasuklah penubuhan Maktab Melayu Kuala Kangsar, yang banyak melahirkan cendekiawan Melayu yang menjadi pemimpin negara sejak dahulu hingga hari ini.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

Hantar Maklum Balas