KOTA KUNO DAN MAKAM PURBA

Home » Khas » KOTA KUNO DAN MAKAM PURBA

Oleh ABDUL GHANI ABU

Destinasi lawatan Kembara Muslim seterusnya ialah Kota Kuno Kashgar. Kota yang berusia lebih daripada 500 tahun (ada yang mencatatkan kota ini sudah berusia 1000 tahun) menyimpan 1001 cerita masyarakat Uygur. Pada zaman awal pembinaannya, kota ini didiami golongan bangsawan. Mereka membina rumah di sini mengikut fasa. Jika dalam sesebuah keluarga, anak pertama berkahwin, maka rumah mereka dibina setingkat lagi tingginya, begitulah seterusnya. Semakin kaya sebuah keluarga, maka semakin tinggi juga rumah mereka.

Biasanya, kota ini menjadi tumpuan kunjungan pelancong pada bulan Julai, Ogos, September dan Oktober. Kota ini bukan sahaja merupakan kawasan perumahan, malahan terdapat kedai menjual cenderamata, pakaian, barangan logam, dan baju sejuk yang dibuat daripada kulit binatang. Kawasan kota yang berkeluasan dua kilometer persegi ini didiami lebih daripada 10 ribu orang penduduk daripada 2000 keluarga. Setiap satu kaki persegi tanah di sini bernilai enam yuan. Sebenarnya, kota ini mula dibuka kepada orang ramai pada tahun 2003. Salah seorang pewaris bangsawan yang tinggal di sini ialah Amimeguli. Rumahnya setinggi enam tingkat.

Keunikan kawasan kota kuno ini ialah rupa bentuk batu yang menjadi panduan kepada orang ramai yang menggunakan lorong pejalan kaki. Batu yang mempunyai enam segi menunjukkan jalan keluar, sebaliknya batu empat segi menunjukkan jalan mati.

Selain itu, terdapat dua ciri perumahan di kota ini. Pertama, rumah yang dibaiki dan dibina semula menggunakan batu bata yang mempunyai ciri keselamatan. Sebaliknya, rumah yang dibina menggunakan papan dan tanah liat pula terdedah kepada risiko.

Kerajaan Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang memberikan bantuan dana sebanyak separuh daripada kos membaik pulih. Di samping itu, bantuan dana 200 yuan diberikan kepada keluarga miskin dan orang tua yang tinggal berseorangan. Lebih daripada 90 peratus lelaki di sini bekerja sendiri, seperti berniaga dan memandu teksi. Terdapat 13 buah surau di kota ini dan sebuah dewan untuk penduduknya menjalankan pelbagai aktiviti.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

Hantar Maklum Balas