Impian dan Harapan

Home » Nota Editor » Impian dan Harapan

SELAMAT TAHUN BAHARU 2012 buat semua pembaca Dewan Siswa (DS). Terima kasih atas sokongan anda semua kepada DS. Tahun ini genaplah usia DS 34 tahun. Sudah tentu banyak asam garam yang dilalui DS bersama-sama pembaca merealisasi dan mengecap impian masing-masing. Manakan tidak, lebih tiga dasarwarsa merentas zaman, sudah pasti ada mereka yang berjaya melalui detik-detik kejayaan bersama-sama DS.

Impian dan harapan, dua perkataan yang ideal kepada remaja. Masing-masing mempunyai impian sama ada impian menjadi pelajar cemerlang, impian mempunyai kerjaya berpendapatan mewah, impian memiliki keluarga yang bahagia atau impian menjadi insan terkenal pada masa hadapan. Masing-masing juga meletakkan harapan menggunung agar impian menjadi kenyataan. Merealisasikan hasrat tersebut, pepatah sering mengingatkan, jangan menjadi seperti angan-angan mat jenin, berpijaklah pada bumi nyata dan jangan menjadi seperti lebai malang.

Impian amat penting, ada juga menyebutnya cita-cita, sama ada untuk tempoh jangka pendek atau jangka panjang. Di sekolah, impian kita hendak lulus cemerlang dalam peperiksaan, aktif berpersatuan dan aktif berkokurikulum. Selepas tamat persekolahan, impian kita hendak melanjutkan pengajian di menara gading, dan selepas itu kita terus berimpian dalam kerjaya dan kehidupan. Setiap fasa kehidupan kita berimpian, kerana melalui impian kita akan bersemangat dan terus menaruh harapan tanpa kenal erti putus asa.

Dalam dunia yang semakin sengit dan penuh persaingan, impian dan harapan merupakan jati diri ampuh yang mampu membawa diri menongkah arus. Tanpa impian, kita langsung tidak menaruh harap, apatah lagi berusaha gigih untuk memperoleh sesuatu. Impian dan harapan memberikan aura untuk kita menjadi insan cemerlang.

Usaha Tanpa Jemu, Impian Kita Ketemu

-Abdul  Ghani Abu

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Januari 2012.

Hantar Maklum Balas