Ilhamkan Harapan Sempurnakan Impian

Home » Fokus » Ilhamkan Harapan Sempurnakan Impian

Oleh : Siti Aminah Binti Musa

APAKAH cita-cita anda? Atau soalan lain yang seerti yang selalu diajukan, apakah kerjaya impian anda? Apabila diajukan soalan seperti ini, kebanyakan remaja pasti akan memilih bidang-bidang profesional dan glamor seperti doktor, peguam, akauntan, atau jurutera sebagai jawapan. Sesetengah yang lain memilih pekerjaan berpakaian seragam, seperti polis, tentera dan ahli bomba sebagai kerjaya impian. Pernah juga penulis diberikan jawapan oleh seorang anak remaja, cita-citanya ingin menjadi seorang pencuri. Pencuri? Terkesima penulis seketika.

Bagaimanakah agaknya remaja pada usia yang masih mentah boleh membuat tekad pelik seperti itu? Apakah faktor yang mungkin telah berjaya mempengaruhi hati dan fikirannya? Pastilah sebagai seseorang yang sudah mempunyai asas didikan, remaja tersebut mempunyai sumber rujukan yang tertentu dalam membuat keputusan. Barangkali rujukan itu merupakan rujukan yang baik, boleh jadi juga tidak baik bagi seseorang remaja.

Kajian psikologi menunjukkan bahawa kecenderungan individu terhadap sesuatu bidang kerap dipengaruhi oleh persekitaran keluarga dan pembesarannya. Kekaguman mereka terhadap individu tertentu di sekeliling mereka akan membuatkan mereka menjadikan individu tersebut sebagai idola dan meletakkan hasrat untuk menjadi seperti individu yang dikagumi itu. Bak kata orang, kepimpinan melalui teladan. Seorang anak yang dikelilingi oleh ahli keluarga yang berjaya dan berpengaruh lazimnya cenderung untuk memilih bidang kerjaya seumpamanya. Barangkali remaja yang pernah memberitahu penulis bahawa cita-citanya untuk menjadi pencuri itu dibesarkan di kawasan yang dipenuhi pencuri yang hidup senang-lenang atau berkemungkinan ahli keluarganya sendiri terlibat dengan jenayah tersebut. Maklumlah, pada awal usia remaja, mereka memang mudah terpengaruh malah prinsip hidup juga jarang ditentukan oleh pemikiran dan logik akal, sebaliknya mereka lebih mudah mencontohi individu yang mempunyai pengaruh besar dalam kehidupannya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Januari 2012.

Hantar Maklum Balas