ELAK MENJADI HAMBA TIDAK BERFIKIRAN

Home » Nota Editor » ELAK MENJADI HAMBA TIDAK BERFIKIRAN

Teknologi dan manusia sememangnya tidak dapat dipisahkan. Penggunaan telefon menjadi aksesori dan kewajipan yang dibawa walau ke mana-mana mereka pergi. Pernah timbul persoalan, berapa kerapkah anda menggunakan telefon pintar dalam sehari? Pasti anda akan menjawab hanya beberapa jam sehari. Sedarkah anda bahawa sebenarnya kita menggunakan telefon pintar lebih lama daripada apa-apa yang kita sangkakan?

Jika dilihat melalui tingkah laku kita, apakah benda yang pertama kita lakukan setelah bangun daripada tidur? Majoriti pemilik telefon pintar akan membelek telefon pintar mereka seawal mungkin sebelum melakukan aktiviti lain untuk memeriksa pesanan yang diterima sewaktu mereka tidur. Pada kebiasaannya, kita akan memeriksa mesej yang diterima melalui WhatsApp dan e-mel setelah bangun daripada tidur. Hal ini dikatakan demikian kerana kita berasa ketinggalan semasa sedang tidur.

Walaupun tiada satu kayu ukur untuk mengklasifikasikan seseorang itu mengalami masalah ketagihan telefon pintar, apabila seseorang individu tidak lagi menghiraukan persekitaran, taasub untuk melihat peranti pada hampir kebanyakan masa dan hilang kuasa berfikir, maka itu sudah dapat dianggap sebagai ketagihan.

Tidak dinafikan bahawa penggunaan telefon pintar amat penting ketika ini, seiring dengan perubahan teknologi. Cumanya penggunaan telefon pintar perlu ada had yang tertentu. Terdapat pelbagai sebab banyak pengguna telefon pintar sentiasa menggunakan dan menghabiskan masa dengan telefon pintar. Kemajuan teknologi memberikan pelbagai kemudahan kepada pengguna.

Apabila dunia semakin cepat berubah dan pantas dalam pertukaran isu hangat, kita pasti akan turut sama mengejarnya. Namun demikian, adakah hal ini menjadi penyebabnya kita ketagih dalam penggunaan telefon pintar? Atau adakah kita hanya ingin lari daripada dunia sebenar dan memenuhi kepuasan yang mungkin tidak kita peroleh di dunia sebenar?

Ketagihan digital yang berlaku menunjukkan kebergantungan yang amat sangat pada peranti yang menyebabkan rasa tidak boleh berfungsi jika tiada peranti di tangan. Peranti menjadi lebih penting dalam hidup sehingga pengguna tegar peranti dilihat seperti berada di dunia yang lain dan tidak lagi berada di dunia yang sama seperti orang lain. Jadi tidak hairanlah jika apabila seseorang itu terlalu bergantung pada peranti, mereka tidak menghiraukan orang sekeliling dan semakin menjauh daripada dunia sebenar.

Jika dilihat hari ini, ada ibu bapa memberi bayi mereka bermain dengan telefon pintar selama berjam-jam supaya anak tidak menangis. Lebih muda umur seseorang (didedahkan kepada peralatan pintar), lebih mudah dia menjadi ketagih. Kesedaran ibu bapa dalam soal ini perlu bermula daripada awal. Maknanya, lebih lambat memperkenalkan peralatan pintar ini kepada kanak-kanak, lebih baik. Ketika anda menjadi hamba tidak berfikiran kepada telefon pintar dan peralatan, anda tidak tahu bahawa golongan elit yang mencipta peranti pintar itu tidak memberi anak mereka menggunakannya.

Sebagai kesimpulannya, setiap pengguna mempunyai alasan yang tersendiri untuk menggunakan telefon pintar. Penggunaan telefon pintar secara berlebihan akan meragut kreativiti individu dan digantikan oleh teknologi telefon pintar. Jika terlalu banyak menggunakan telefon pintar tanpa berfikir, secara perlahan-lahan anda kehilangan keupayaan dan kuasa otak bagi menghasilkan sesuatu yang hebat dan inovatif.

Kewujudan telefon pintar sepatutnya memberikan kemudahan kepada pengguna. Namun begitu, pengguna tegar akan menghadapi ketagihan dalam penggunaan telefon pintar sekiranya tidak pandai mengawal diri dan membahagikan masa dengan telefon pintar dan aktiviti sosial.

Haziah Che Husin

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Siswa keluaran Julai 2015.

Hantar Maklum Balas