DERITA DIGIGIT LABAH-LABAH

Home » Saintifik » Misteri Dalam Sains » DERITA DIGIGIT LABAH-LABAH

Oleh Nor Azida Ishak

Bolehkah anda membayangkan diri anda digigit lelabah janda hitam yang berbisa atas tujuan penyelidikan sains? Inilah yang berlaku kepada saintis bernama Allan Blair yang mendapat gelaran “The Real Spider-Man” kerana sanggup menerima gigitan berbisa lelabah janda hitam untuk mengkaji kesan racunnya pada tubuh manusia. Dia terkenal dalam kajian entomologi (serangga), toksikologi (sains perubatan yang mengkaji tabii dan tindakan racun) dan kanser. Eksperimen itu dilakukan untuk menyanggah teori yang mengatakan bahawa racun lelabah janda hitam tidak berbahaya.

Untuk uji kaji itu, Blair menangkap seekor lelabah janda hitam berdekatan dengan rumahnya pada 25 Oktober 1933 dan meletakkannya di dalam balang berlabel 111.33 di makmalnya. Labah-labah itu diberi makan serangga hidup setiap hari, sehinggalah dua minggu sebelum Blair menjalankan uji kajinya. Labah-labah itu langsung tidak diberi makanan supaya labah-labah tersebut lekas marah dan mudah menggigit apabila diganggu. Hal ini dikatakan demikian kerana lelabah janda hitam sukar menggigit sekiranya tidak tertekan atau berasa terancam.

Pada 12 November 1933, Blair menulis laporannya bahawa labah-labah 111.33 berada dalam keadaan sihat dan aktif, bersaiz sederhana, berwarna hitam berkilat dengan tanda merah yang biasa terdapat pada labah-labah dewasa. Blair menulis keadaan dirinya pada masa itu sebagai berumur 32 tahun, berat 168 paun, dengan tubuh badan yang cergas dan sihat. Dia telah memeriksa tahap kesihatannya dengan telitinya dan mendapati bahawa tubuhnya pada waktu itu dalam keadaan normal, serta tidak mempunyai alahan terhadap gigitan serangga.

Pada pukul 10.45 pagi, Blair mengangkat labah-labah 111.33 itu dengan menggunakan forsep dan meletakkannya di atas tangan kirinya. Tanpa berlengah, labah-labah itu terus menggigit hujung jari kelingking Blair. Gigitan itu terasa seperti jarum kecil yang mencucuk, dan serta-merta kulit pada bahagian gigitan itu terasa panas. Blair membiarkan labah-labah itu terus menggigitnya selama 10 saat, sebelum memasukkan kembali labah-labah itu ke dalam balangnya.

Kesan luka pada jarinya sangat kecil biarpun Blair melihatnya menerusi kanta pembesar. Dengan menggunakan tangan kanannya, Blair merekodkan apa-apa yang dialami selepas terkena gigitan itu. Selepas dua minit, wujud kesan biru pada jari kelingkingnya yang terkena gigitan. Kesan itu bertukar kepada merah selepas beberapa saat.

Selepas 15 minit, rasa sakit itu merebak ke seluruh bahagian tangan kirinya dan dia mula berasa kebas di bahagian itu. Peluh di situ merembes tanpa henti dan bertukar bengkak yang berwarna ungumerah. Selepas 20 minit, rasa sakit itu mula sampai ke dada Blair, tetapi keperitan paling kuat adalah pada nodus limfa berdekatan dengan sikunya. Blair membuat kesimpulan bahawa toksin labah-labah itu telah bergerak melalui pembuluh limfanya. Selepas 50 minit, tekanan darah Blair mula menurun dan pernafasannya menjadi mengah.

Dia berasa sakit yang mencucuk pada bahagian kepala, otot leher dan bahagian atas perutnya. Blair tahu bahawa rasa sakit pada abdomen ini ialah simptom klasik untuk gigitan lelabah janda hitam, berdasarkan bacaannya pada laporan doktor sebelum ini. Simptom lain yang turut direkodkan oleh mangsa lain dalam kes gigitan lelabah janda hitam ialah kekejangan, pengsan, kelumpuhan, dan amnesia (hilang daya ingatan).

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Siswa keluaran Julai 2015.

Hantar Maklum Balas