TIDAK ADA BEZANYA BIDANG AKADEMIK DAN VOKASIONAL

Home » Nota Editor » TIDAK ADA BEZANYA BIDANG AKADEMIK DAN VOKASIONAL

“Saya berharap anak saya akan mendapat tempat di Maktab Rendah Sains Mara.” Apabila ditanya tentang sebab hanya akademik arus perdana menjadi pilihan, sedang kita punya banyak pilihan dalam bidang pendidikan teknikal dan vokasional yang lain, jawapan yang diberikan ialah untuk menjamin masa hadapan anaknya. Mengapakah begitu dangkal pemikiran kita dalam merencanakan perjalanan hidup seseorang anak muda?

Remaja sering didedahkan kepada kecemerlangan dalam akademik arus perdana yang bersumberkan peperiksaan standard Malaysia. Ibu bapa dilihat kurang menyarankan perjalanan pembelajaran anak dengan memastikan mereka kekal dalam kecemerlangan bidang akademik arus perdana. Hal ini dikatakan demikian kerana kebimbangan mereka yang tinggi terhadap anak untuk mendapatkan peluang pekerjaan berkolar putih selepas menamatkan pengajian.

Hasrat kerajaan untuk mencapai negara industri akan terbantut jika persepsi bidang kemahiran ini masih diletakkan sebagai pendidikan bagi golongan kelas kedua. Tidak ada bezanya antara sistem pendidikan teknikal dan vokasional dengan akademik arus perdana. Dangkal pemikiran ini harus ditolak ke tepi kerana kemahiran juga kelak akan membantu kesinambungan kehidupan seseorang anak muda.

Oleh itu, melalui Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kerajaan memberikan penekanan terhadap pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) bagi melahirkan pelajar yang berkemahiran bagi tempoh 2011-2015. Dalam RMK-10 ini, kerajaan berhasrat menerapkan pendidikan kemahiran secara holistik kepada pelajar daripada lepasan sekolah menengah rendah sehinggalah pasaran pekerjaan. Penjenamaan semula sekolah menengah vokasional kepada kolej vokasional turut dilakukan dalam RMK-10.

Teras yang terbina dalam wawasan negara menyatakan perihal pembinaan negara bangsa Malaysia yang progresif dan makmur dalam usaha terancang untuk berubah daripada negara membangun kepada negara maju.

Sebagai hasilnya, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPPM-PT) dilancarkan baru-baru ini. Kerajaan masih memberikan tumpuan yang khusus terhadap pembangunan pendidikan TVET. Tumpuan terhadap TVET ini selari dengan hasrat yang tercatat dalam Wawasan 2020, iaitu menjadikan Malaysia sebagai negara yang mencipta teknologi, bukan hanya negara yang menggunakan teknologi.

Usaha ini membolehkan pelajar yang berpotensi dilatih menjadi tenaga kerja profesional dan separa profesional dalam pelbagai bidang teknologi dan kejuruteraan, malah turut menekankan pendidikan keusahawanan yang mampu membina kerjaya sendiri, yang bukan hanya “makan gaji” semata-mata.

Lonjakan yang terdapat dalam pelan ini menyokong lima aspirasi sistem pendidikan yang memberikan tumpuan kepada akses, ekuiti, kualiti, kecekapan dan perpaduan. Pelan ini dilihat berupaya memangkinkan transformasi dan boleh menentukan masa depan yang lebih cemerlang untuk generasi muda Malaysia.

Perubahan ini telah membuka peluang yang besar kepada pelajar teknikal untuk mengambil manfaat daripadanya. Bidang seperti ini agak kurang popular dalam kalangan pelajar. Walau bagaimanapun, peluang pekerjaan untuk lulusan yang berkemahiran ini sangat besar. Hal ini dikatakan demikian kerana sumber manusia yang terlatih dan berkemahiran ialah nadi penggerak utama yang terhasil daripada sistem pendidikan yang mantap dan baik.

Masyarakat, khususnya golongan remaja, haruslah mengubah sikap dan pandangan mereka terhadap pendidikan vokasional. Dengan wujudnya peluang pekerjaan yang semakin luas, pandangan masyarakat harus berubah dan memandang tinggi pekerjaan kolar biru.

Haziah Che Husin

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Siswa keluaran Jun 2015.

Hantar Maklum Balas