TVET TERAP KEMAHIRAN BERMANFAAT

Home » Fokus » TVET TERAP KEMAHIRAN BERMANFAAT

OLEH NOOR AZAM ABDUL RAHMAN

Malaysia mampu muncul sebagai negara berteknologi tinggi, dengan rakyat yang berkemahiran serta memelihara kualiti hidup yang berteraskan minda masyarakat kelas pertama menjelang tahun 2020, seperti yang digariskan melalui Wawasan 2020. Malaysia juga berkeupayaan menjadi negara perindustrian sepenuhnya jika pelajar pada hari ini mengambil manfaat daripada pelan pendidikan negara yang telah dirangka rapi oleh kerajaan.

Melalui Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kerajaan telah memberikan penekanan terhadap pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) bagi melahirkan pelajar yang berkemahiran dalam tempoh 2011-2015. Sepanjang tempoh RMK-10, kerajaan berhasrat menerapkan pendidikan kemahiran secara holistik bagi para pelajar lepasan sekolah menengah rendah, sekolah menegah atas, institusi pengajian tinggi sehingga pasaran pekerjaan. Dalam tempoh tersebut juga, telah berlaku beberapa perubahan, khususnya yang berkaitan dengan pendidikan teknikal dan vokasional. Antaranya, penjenamaan semula sekolah menengah vokasional kepada kolej vokasional.

Perubahan melalui penjenamaan semula ini telah membuka peluang yang besar kepada para pelajar teknikal untuk mengambil manfaat daripadanya. Walaupun pendidikan teknikal dan vokasional di Malaysia telah bermula sejak awal tahun 1980-an lagi, tumpuan pada peringkat awal hanya pada pelajar yang tercicir dalam akademik arus perdana. Sebagai pilihan kedua, para pelajar ini diberi peluang untuk mengikuti pendidikan berteraskan TVET.

Walau bagaimanapun, setelah kerajaan melihat keperluan dan kepentingan TVET dalam proses pembentukan negara maju, maka aspek TVET ini diperkasakan sebagai aliran pendidikan bertaraf perdana. Pendidikan TVET merupakan laluan yang penting bagi negara seperti Malaysia untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi, berpengetahuan, berinovasi, dan mampu menghadapi saingan pada peringkat global dan serantau serta sentiasa relevan dengan keperluan semasa.

TVET memberikan penekanan kepada pendidikan berkonsep sepanjang hayat, iaitu pendidikan berterusan tanpa had umur pembelajaran tertentu. Sebagai remaja, peluang mengikuti pengajian yang berkaitan dengan TVET mampu membentuk kemahiran tertentu yang bersesuaian dengan keperluan semasa dalam pasaran pekerjaan. Pendidikan berasaskan TVET ini bukan sahaja berhasrat melahirkan bilangan pekerja mahir yang terlatih, tetapi mampu mencipta pekerjaan sendiri berbekalkan kemahiran yang diperoleh. Perkara ini akan mengurangkan kebergantungan pada kerja makan gaji.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPPM-PT), kerajaan masih memberikan tumpuan yang khusus terhadap pembangunan pendidikan TVET. Tumpuan terhadap TVET ini selari dengan hasrat yang tercatat dalam Wawasan 2020, iaitu menjadikan Malaysia sebagai negara pencipta teknologi, bukan hanya sebagai negara pengguna teknologi. Ciri ini merupakan asas pembentukan negara maju sepenuhnya, iaitu bilangan pekerja mahir dan separa mahir yang cukup dalam pasaran pekerjaan.

Pada peringkat pengajian tinggi awam, kerajaan telah menyediakan empat buah universiti awam yang berstatus universiti teknikal di Malaysia, iaitu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Tun Hussien Onn (UTHM). Universiti awam teknikal ini bertujuan memberikan ruang yang khusus kepada pelajar lulusan teknikal pada peringkat sekolah menengah untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat pengajian tinggi. Laluan pembelajaran ini memberikan pilihan kepada pelajar dan remaja untuk terlibat dalam bidang teknikal dengan laluan pendidikan yang tersusun.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Siswa keluaran Jun 2015.

Hantar Maklum Balas