SEDIAKAN MASA BELAJAR

Home » Nota Editor » SEDIAKAN MASA BELAJAR

Musim peperiksaan kian hampir. Menjelang musim peperiksaan, kita yang bakal menghadapi peperiksaan dilanda kerisauan. Segala yang dilakukan serasa tidak kena. Memegang buku A, mata menjeling buku B, buku C masih terbuka luas di atas katil menunggu untuk dibelek. Apatah lagi buku D, E dan lain-lainnya. Segala-galanya perlu dibuat ulang kaji kerana ujian bakal bermula esok hari.

Sistem badan mula kepenatan. Otak pula berasa semakin letih. Bolehkah kita mengulang kaji pelajaran kala otak sedang letih? Ketika ini terbit rasa menyesal kerana tidak membuat perancangan belajar yang betul. Ada ketika kita terlalu mengambil peduli perkara-perkara kecil dalam hidup.

Contohnya terlalu mencantikkan nota sehingga melengahkan masa untuk mengulang kaji pelajaran. Kita menunggu segala-galanya sempurna sebelum memulakan pembelajaran. Selagi keadaan belum sempurna, kita akan bertangguh untuk belajar. Menunggu untuk terlalu sempurna menjadikan kita cerewet dan membuang masa.

Hal ini disebabkan oleh diri kita yang mungkin keliru dengan apa-apa yang kita lakukan pada setiap hari. Begitu banyak perkara yang ingin diselesaikan. Semuanya kelihatan penting sehingga tidak tahu yang mana harus dilakukan terlebih dahulu. Hal sebegini timbul apabila kita tidak tahu menentukan mana-mana perkara yang penting dan tidak penting.

Ketika musim peperiksaan sudah terlalu hampir, kita berasa diri kekurangan ilmu pengetahuan. Kita tidak menguasai apa-apa pelajaran yang dipelajari. Kita tidak ingat apa-apa yang dihafal. Kita tidak memahami apa-apa yang diberi oleh guru. Pendek kata, kita tidak bersedia untuk menghadapi peperiksaan. Lalu, kita akan mula belajar pada saat akhir.

Ketika ini segala-galanya kelihatan perlu dibaca. Maka, timbul rasa panik, tertekan dan resah dalam diri. Kita buntu apabila melihat timbunan buku rujukan dan buku latihan yang banyak. Kesudahannya, kita akan terperosok dalam masalah yang sangat besar apabila bertindak mengulang kaji pelajaran pada saat akhir. Masalah itu berkenaan keberkesanan belajar.

Hal ini bermaksud sejauh mana kita dapat faham, ingat dan kuasai apa-apa yang kita pelajari pada sesuatu masa. Keberkesanan belajar terbang bagai “angin lalu” apabila diri dikuasai rasa panik dan terburu-buru. Segala yang kita pegang dirasakan tidak kena. Fokus ini ditampilkan supaya tidak ada pembaca Dewan Siswa (DS) yang mengamalkan sikap membuat ulang kaji pelajaran pada saat akhir.

Pelajar yang berjaya ialah pelajar yang tidak membiarkan masa emasnya berlalu begitu sahaja. Mereka ialah insan bersistematik yang mempunyai jadual harian dan jadual belajar. Jadual harian ialah jadual yang digunakan bagi merancang aktiviti termasuklah sekolah, kelas tambahan, ulang kaji, riadah, rehat, tidur, dan berkawan. Jadual belajar pula ialah jadual untuk merancang pembelajaran supaya kita membuat ulang kaji yang teratur dan baik. Jika sekalipun secara tidak sengaja terlibat dalam masalah belajar pada saat akhir, pelajar yang berjaya ini tahu kaedah menguruskan dirinya, bersiap siaga menghadapi peperiksaan.

Sebagai anak merdeka yang bakal menerajui negara, kita harus menyediakan masa belajar yang betul kepada diri kita sendiri supaya perancangan pembelajaran menjadi teratur. Jadikan diri kita insan yang mempunyai minda yang bersedia. Kenali masa belajar yang berkesan. Bersempena dengan bulan merdeka, DS mengucapkan Selamat Hari Merdeka kepada semua pembaca.

Haziah Che Husin

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Siswa keluaran Ogos 2015.

Hantar Maklum Balas