MANFAATKAN MASA SINGKAT

Home » Fokus » MANFAATKAN MASA SINGKAT

Oleh Noraziah Mohd Amin

Masa yang singkat untuk mengulang kaji sering kali membuatkan pelajar berasa tertekan, terutama bagi mereka yang akan menghadapi peperiksaan penting. Hal ini akan memaksa pelajar untuk berjaga malam dan tidur lewat demi mengulang kaji pada saat akhir. Hal ini pastinya menambahkan kegelisahan dalam persediaan menempuh peperiksaan pada keesokan harinya. Jika keadaan ini tidak terkawal, pelajar mungkin akan jatuh sakit. Memburukkan lagi keadaan, pelajar tersebut terpaksa dimasukkan ke hospital.

Namun begitu, jika pelajar bijak memanfaatkan masa terhad yang ada dengan teknik ulang kaji yang efektif, peperiksaan yang bakal menjelma tidak akan menjadi begitu merunsingkan, malah pelajar akan lebih bersemangat dan bersedia untuk menghadapinya. Antara taktik ulang kaji singkat yang dapat dilakukan ialah membaca secara fokus dan pantas di samping mencatat serta mengingati hanya isi penting.

Menurut Dr. Hasan Haji Mohd Ali, penulis buku, “Strategi Lulus Peperiksaan Dengan Cemerlang”, fokus ialah tonggak utama kejayaan kala belajar pada saat akhir kerana tanpa konsentrasi yang sepenuhnya, mental pelajar akan mudah dipengaruhi oleh rasa kurang yakin atau gugup. Hal ini akan mengganggu usaha untuk menjawab peperiksaan dengan baik pada hari menghadapi peperiksaan.

Jika dilihat kini, banyak anak muda melakukan aktiviti membaca sambil mengunyah makanan ringan atau mendengar muzik serta bernyanyi kecil. Hal ini mendorong otak untuk cenderung memikirkan hal lain dan menghalang kemasukan maklumat yang sepatutnya ke dalam memori. Pelajar tidak akan dapat menghayati sepenuhnya pembacaan yang dilakukan dan hanya membuang masa. Jika pelajar berasa mengantuk ketika membaca nota dalam hati, kaedah pembacaan dengan mengeluarkan suara dapat mengikis serba sedikit rasa mengantuk yang timbul.

Seelok-eloknya pembacaan dilakukan dengan keinginan diri yang kuat untuk menggali isi utama yang wajar difahami dan diingati agar pembacaan tersebut dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya. Selain membaca nota, sebagai salah satu kaedah mengulang kaji, latihan pengukuhan dapat membantu penguasaan sesuatu mata pelajaran itu terutamanya dari segi teknik menjawab soalan peperiksaan.

Melakukan latihan kala pelajar dihimpit masa yang singkat untuk belajar dapat menguji kefahaman pelajar dan memberikan penilaian secara kasar sejauh mana pelajar dapat menjawab kertas peperiksaan sesuatu subjek itu. Ukuran sebegini dapat menjadikan pelajar untuk lebih fokus kepada persoalan yang sukar atau topik yang agak kurang dikuasai. Melalui cara ini, pelajar dapat membaiki kelemahan diri dalam sesuatu topik itu tanpa membuang masa mengulang kaji topik yang telah difahami.

Selain itu, soalan peperiksaan pada tahun sebelumnya dapat memberikan sedikit gambaran kepada pelajar tentang corak dan gaya soalan yang bakal muncul dalam peperiksaan serta isu penting tentang sesuatu subjek itu yang perlu diberikan perhatian. Melakukan latihan dapat memberikan ruang kepada pelajar untuk mengenal pasti kriteria penting menjawab soalan apabila pelajar dapat merujuk skema jawapan yang disediakan dan cara pemarkahan yang akan diberi.

Teknik belajar dengan mengingati nota ringkas dapat membantu pelajar untuk mengingati informasi yang banyak dengan cara yang pantas dan mudah. Cara pembelajaran sebegini dapat dilakukan dengan menyediakan peta minda atau carta alir bagi membantu memori untuk menyimpan maklumat dengan lebih lama melalui kesan visual yang terdapat pada nota ringkas berkenaan.

Kata kunci dicatatkan dan rangkaian informasi berkaitan dengannya disusun dengan cara yang mudah untuk diingati. Mewarnakan perkataan penting dengan warna yang terang menggunakan pen atau menggariskannya merupakan salah satu elemen grafik yang dapat membantu pelajar untuk mengingat dengan lebih baik. Teknik ini akan menjimatkan masa belajar dengan hasil yang berkualiti.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Siswa keluaran Ogos 2015.

Hantar Maklum Balas