MATANG DALAM MENERIMA DAN MENYEBARKAN MAKLUMAT

Home » Nota Editor » MATANG DALAM MENERIMA DAN MENYEBARKAN MAKLUMAT

Suatu ketika Malaysia dikejutkan dengan tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370. Belum pun pihak berwajib memberikan kenyataan terperinci, berita tersebar dengan cepat, umpama ombak mengejar pantai.

Pelbagai kenyataan awal tersebar tanpa menjaga hati dan perasaan keluarga yang terlibat kerana tiadanya ahli keluarga penyebar maklumat yang terlibat. Mereka tiada masa untuk bersedih kerana sibuk menantikan “gosip panas” yang sepantas kilat dapat disebarkan. Individu terawal yang dapat memuat naik maklumat terkini dikira sebagai orang yang hebat.

Sesuai dengan perkataan langit terbuka, sekali klik sahaja, bertebaranlah segala pernyataan yang tidak dapat disahkan maklumatnya. Ditambah pula dunia tanpa sempadan kini, maka sampailah maklumat yang tidak sahih tersebut ke pelosok negeri dan negara. Pelbagai andaian dipaparkan pada papan muka media secara atas talian. Ada yang tersenyum, ada yang mencemuh dan tak kurang juga ada yang menambah lauk ke “hidangan” tersebut.

Fokus Dewan Siswa kali ini melihat lautan informasi yang tidak bertepi ini menuntut disiplin tinggi individu untuk meneliti, mempertimbangkan dan memutuskan sama ada sumber media baharu yang diperoleh itu dapat diterima, ataupun ditolak.

Cabaran sebenar yang bakal didepani remaja ialah kebijaksanaan dalam menggunakan kemudahan teknologi dan media baharu secara waras. Penggunaan media baharu ini merujuk perihal kemudahan untuk mendapatkan bahan dan maklumat dengan mudah pada bila-bila masa dan di mana-mana daripada sumber digital di alam siber.

Interaksi maya yang dimudahcarakan oleh teknologi siber telah membolehkan maklumat bergerak pantas ke seluruh dunia dalam tempoh beberapa saat sahaja. Hal ini menyebabkan alam siber dipenuhi dengan lambakan berita dan maklumat yang bercampur baur antara yang benar dan yang palsu, yang sahih dan yang fitnah.

Oleh sebab sebaran informasi melalui media baharu seperti Facebook, Twitter, Whatsapp dan blog adalah semudah di hujung jari sahaja, maka banyak individu yang tidak berfikir panjang dan tidak mempedulikan implikasi daripada tindakan mereka.

Maka itulah, keistimewaan kebijaksanaan sebagai generasi muda yang terpelajar terletak kepada keupayaan untuk menetapkan perimeter disiplin kendiri dalam menggunakan teknologi siber dan media baharu. Kebijaksanaan ini bermula dengan keupayaan remaja menjadikan prinsip “kita yang mengawal teknologi, bukannya teknologi yang mengawal kita”.

Seseorang individu sememangnya mempunyai autoriti untuk menerima atau menolak maklumat atau berita siber yang dilambakkan kepadanya. Pada masa yang sama juga, individu tersebut turut berautoriti untuk tidak tergopoh-gapah melatah untuk menyebarkan pula berita tersebut kepada pengguna siber yang lain tanpa terlebih dahulu menentukan kebenarannya.

Penting untuk diketahui bahawa, penyebaran maklumat palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika didapati bersalah boleh didenda RM50 000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Haziah Che Husin

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Siswa keluaran Januari 2015.

Hantar Maklum Balas