LAMBAKAN MEDIA BAHARU

Home » Fokus » LAMBAKAN MEDIA BAHARU

OLEH NOOR AZAM ABDUL RAHMAN

Akhbar Berita Harian keluaran 25 Oktober 2013 melaporkan bahawa menjelang tahun 2015, pengguna internet di Malaysia dijangka akan mencapai sejumlah 25 juta orang, berbanding 18 juta orang pada tahun 2012. Jangkaan ini berdasarkan Laporan Ekonomi yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada Oktober 2013. Laporan ini juga merekodkan peningkatan kadar penembusan jalur lebar isi rumah di Malaysia telah meningkat kepada 66.8 peratus pada akhir Jun 2013, manakala kadar penembusan telefon mudah alih melebihi 100 peratus.

Apakah makna laporan di atas kepada remaja dan masyarakat Malaysia keseluruhannya? Apakah kesan sosial angka tersebut kepada proses pendidikan dan pembangunan remaja? Laporan di atas menjelaskan tentang peluang perniagaan yang terbuka luas kepada usahawan internet kerana pasaran secara atas talian lebih berpotensi dengan jumlah pengguna yang semakin bertambah setiap tahun.

Jumlah pengguna yang bertambah ini bermakna media baharu yang dijadikan alat komunikasi ini semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Jika dilihat dari aspek positifnya, perkembangan ini mampu memberi peluang baharu kepada usahawan secara atas talian untuk memajukan perniagaan mereka. Namun begitu, jika dilihat aspek kesan jangka panjang kepada proses pembangunan remaja, hal ini merupakan sesuatu isu yang harus dibimbangkan.

Lambakan media baharu pada masa ini telah menguji tahap “keimanan” dan kesabaran masyarakat, terutama generasi muda. Menguji keimanan kerana bahan yang disediakan di media baharu mampu mengubah seseorang yang pendiam secara realitinya menjadi seorang yang petah berbicara menerusi media sosial. Kesannya golongan ini akan terdedah dengan ancaman daripada pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba untuk memperdaya mereka ke arah yang tidak baik.

Tidak salah untuk petah berbicara, namun perlu sesuai dengan masa dan tempatnya. Kebolehan berkomunikasi dengan baik adalah salah satu kemahiran yang perlu dipupuk oleh setiap remaja. Namun begitu, jika petah berbicara dalam konteks di media sosial bermakna seseorang itu mudah untuk berhubung dengan sesiapa sahaja tanpa usul periksa. Mereka akan melayan setiap komunikasi daripada sesiapa sahaja termasuk orang yang tidak dikenali. Hal ini amat berbahaya bagi remaja. Berkomunikasi secara “mesra” dengan orang yang tidak dikenali dapat mendedahkan remaja kepada kebocoran maklumat sulit tentang diri.

Maklumat diri merupakan perkara penting yang perlu diuruskan sebaiknya semasa menggunakan media sosial. Kebocoran maklumat diri di media baharu dapat mengancam keselamatan seseorang. Maklumat tentang latar belakang diri, alamat kediaman, tempat belajar atau bekerja secara terperinci akan memudahkan pihak yang tidak bertanggungjawab memanipulasikan maklumat diri kita untuk tujuan yang tidak baik.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Siswa keluaran Januari 2015.

Hantar Maklum Balas