KEGAGALAN ITU ADALAH PENGAJARAN

Home » Nota Editor » KEGAGALAN ITU ADALAH PENGAJARAN

Realiti kehidupan ada pahit dan manis. Ada suka dan duka. Ada bahagia dan ada berduka. Inilah kehidupan dunia. Hidup yang dipenuhi dengan ujian. Beruntunglah bagi yang berjaya melalui ujian kehidupan ini dan sebaliknya rugilah bagi mereka yang gagal dan mengaku kalah. Setiap daripada kita sudah tentu pernah gagal. Dan bagaimana kita bangkit daripada kegagalan tersebut ialah satu kejayaan yang akan kita kenang sentiasa.

Lihatlah mereka yang berjaya dalam bidang masing-masing, setiap daripada mereka sudah pasti mempunyai kisah kegagalan masing-masing dan bagaimana mereka tidak berhenti dan terus mencuba sehingga mereka berjaya. Kegagalan bermakna bahawa anda masih lagi belum berjaya. Kegagalan bukan bermakna anda tidak mencapai apa-apa, sebaliknya anda telah mempelajari sesuatu dan hanya tidak tahu beberapa perkara lagi. Kegagalan bermakna anda perlu mengambil masa yang lebih lama untuk berjaya dan berusaha bersungguh-sungguh. Kegagalan juga memperlihatkan kesilapan yang kita lakukan.

Kesilapan ialah realiti dalam kehidupan. Kesilapan mengajar kita tentang apa-apa yang perlu kita pelajari selepas itu. Kesilapan sebagai bukti bahawa seseorang itu telah mencuba membuat sesuatu perkara atau pekerjaan, malah kesilapan juga mungkin menjadi perkara penting bagi menjamin kejayaan yang bernilai. Yang penting adalah tindak balas terhadap kesilapan itu.

Hal ini bermaksud gagal sekali bukan gagal buat selama-lamanya. Kegagalan boleh dijadikan penanda aras bahawa kita patut berusaha lebih gigih untuk mencapai apa-apa yang kita inginkan. Usaha sebelum kegagalan itu dilihat sebagai satu proses percubaan untuk mencapai sesuatu.

Kita dapat belajar tentang kegagalan ini daripada anak kecil yang tidak pernah putus asa untuk mencuba. Jatuh bangun dan kesakitan ialah perkara biasa yang dapat kita jadikan teladan. Anak kecil misalnya yang baru mencuba untuk memulakan langkah, menapak dengan langkah pertama. Lalu terjatuh. Bangkit semula. Kemudian belajar berdiri dengan memegang tempat bergantung, lalu melangkah setapak lagi. Anak kecil ini tidak sedikit pun takut akan tentang kesakitan akibat terjatuh semalam, sebaliknya tetap mencuba.

Kegigihan anak kecil ini memulakan langkah setiap hari membolehkannya menapak dengan laju, dan yakin. Hasil usaha anak kecil ini kemudiannya dia dapat berlari pantas, seiring dengan perubahan dunia yang semakin maju. Penting diingatkan bahawa kegagalan ialah proses pembelajaran untuk setiap individu.

Oleh itu sikap anak kecil yang tidak mengenal jemu berusaha inilah yang patut kita jadikan pengajaran kerana fitrahnya kita mempelajari sesuatu melalui persekitaran dan apa-apa yang berlaku pada kita dan yang ada perkaitan dengan diri kita. Individu yang berjaya akan memperoleh keuntungan daripada kesilapannya, dan mencuba lagi dengan cara yang lain. Setiap kegagalan ialah suatu pengajaran yang mendorong seseorang untuk mencuba pendekatan baharu yang tidak pernah dicuba sebelum ini.

Apabila kita telah sampai ke penghujung tali dan tiada lagi simpulan untuk bergantung, lompatlah ke tali yang lain. Kegagalan hanyalah satu peluang untuk kita mencuba lagi dan berjaya. Sekali gagal, tidak bermakna kita telah tewas, kita hanya tewas apabila berputus asa. Sekiranya kita mengalami kegagalan lebih awal,sekurang-kurangnya kegagalan yang berikutnya tidak lagi akan menyakitkan.

Haziah Che Husin

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Siswa keluaran Mac 2015.

Hantar Maklum Balas