GAGAL: BERSALAH ATAU TIDAK?

Home » Fokus » GAGAL: BERSALAH ATAU TIDAK?

OLEH MD NIZAR PARMAN

Berdasarkan tinjauan terhadap sekumpulan pelajar yang akan menduduki sesuatu peperiksaan penting, termasuklah Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), perkara yang amat dibimbangi oleh mereka ialah kegagalan. Kegagalan dalam konteks ini bermaksud kegagalan mendapat keputusan yang diharapkan kerana mereka diletakkan sebagai calon harapan untuk memperoleh keputusan yang cemerlang. Bagi mereka, kegagalan tidak ubah seperti musibah besar yang boleh memusnahkan masa depan atau reputasi mereka.

Tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian daripada pelajar berasa bersalah apabila gagal memenuhi harapan ibu bapa, guru, rakan atau sesiapa sahaja yang menginginkan mereka berjaya dengan cemerlang. Perasaan bersalah lazimnya ditunjukkan dalam tingkah laku, termasuklah memencilkan diri, kemurungan, cepat panas baran dan menangis. Bagi pelajar yang diletakkan sebagai calon harapan sekolah, pastinya kegagalan ini menjadi bebanan berganda buat mereka. Kegagalan mereka mendapat keputusan yang sewajarnya dirasakan menjadi faktor kepada kemerosotan prestasi sekolah atau institusi dalam sesuatu peperiksaan.

Mereka berasakan bahawa kegagalan merupakan hakikat yang paling sukar untuk diterima. Oleh itu, tidak hairanlah jika ada pelajar yang gagal bertindak di luar norma batas kemanusiaan, termasuklah membunuh diri, menghisap dadah atau melibatkan diri dalam gejala tidak sihat yang lain. Perkara seumpama ini tidak mungkin berlaku jika seseorang pelajar itu bersedia untuk menghadapi kegagalan dengan langkah yang lebih positif.

Apabila berbicara tentang soal kegagalan, sebenarnya perkara ini tidak terbatas kepada kegagalan akademik semata-mata. Kegagalan boleh dilihat dalam konteks yang lebih luas, termasuklah kegagalan dalam persahabatan, pekerjaan, perniagaan, dan pertandingan. Persoalannya, mengapakah perasaan bersalah itu wujud?

Memang sudah menjadi fitrah manusia untuk berasa kecewa dan sedih apabila mengalami kegagalan dalam sesuatu perkara yang dilakukan. Dalam pelajaran, misalnya, para pelajar berasa bersalah kepada kedua-dua ibu bapa kerana telah menanggung atau membiayai persekolahan selama ini. Selain ibu bapa, mereka berasa bersalah terhadap guru kerana begitu bersungguh-sungguh dan ikhlas mahu mereka mendakap kejayaan. Dalam bidang pekerjaan pula, seseorang itu berasa bersalah apabila gagal menyempurnakan tugas atau amanah yang telah diberikan oleh majikan yang dikhuatiri boleh menjejaskan kemajuan syarikat.

Selain itu, perasaan bersalah juga wujud apabila gagal dalam sesuatu pertandingan yang disertai. Dalam hal ini, rasa bersalah itu timbul disebabkan telah mengecewakan harapan jurulatih, penyokong atau penaja. Adakalanya penyertaan seseorang itu dalam sesuatu pertandingan itu dibiayai oleh individu atau syarikat tertentu. Oleh yang demikian, kegagalan untuk meraih kemenangan tentu menyebabkan mereka yang terlibat di belakang tabir berasa hampa. Peta pemikiran yang berikut menunjukkan sebahagian daripada sebab dan akibat daripada kegagalan yang dialami.

Sebahagian daripada kita beranggapan bahawa kegagalan merupakan musibah dan mampu merencatkan perancangan pada masa akan datang. Namun begitu, seseorang itu tidak seharusnya cepat berasa kecewa apabila gagal untuk mendapat sesuatu yang diinginkan. Jika kita gagal setelah berusaha dengan gigih dan bersungguh-sungguh, anggaplah itu sebagai cabaran yang mampu untuk mematangkan kita pada masa depan. Bagi remaja Islam pula, kita perlu menganggap itu sebagai qadak dan qadar yang telah ditentukan.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Siswa keluaran Mac 2015.


Hantar Maklum Balas