RAPUHNYA JATI DIRI REMAJA

Home » Nota Editor » RAPUHNYA JATI DIRI REMAJA

Kualiti hidup sosial merupakan isu penting dalam proses pembangunan sesebuah negara. Dalam proses pembangunan dan pemodenan sesebuah negara, beberapa isu sosial perlu diberi perhatian. Seiring dengan modenisasi dan pembangunan ekonomi yang secara langsung meningkatkan taraf kehidupan setempat, timbul beberapa permasalahan baharu, seperti keruntuhan nilai kemanusiaan dan moral dalam kalangan ahli masyarakat, terutamanya golongan remaja yang menetap di kawasan sempadan negara, iaitu kawasan percampuran banyak budaya dan cara hidup.

Remaja yang menetap di sempadan negara menghadapi cabaran yang besar apabila lebih terdedah kepada masalah sosial. Sebagai contohnya, kemasukan senjata api dan pengambilan dadah jenis pil kuda yang melibatkan remaja muda seawal 15 tahun. Bahan terlarang mudah diperoleh di kawasan ini sebelum sampai ke ibu kota. Bayangkan jika generasi muda ini telah musnah seawal 15 tahun, bagaimanakah mereka akan memimpin negara?

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita mengenai seorang remaja berusia 15 tahun yang ditahan oleh polis kerana disyaki memiliki senjata api serta terlibat dalam kegiatan mengedar dan menyewanya. Dengan tertangkapnya suspek dan seorang lagi rakannya berusia 29 tahun dalam serbuan di Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan, polis menyelesaikan beberapa kes tembak yang berlaku di negeri itu, dipercayai dengan menggunakan pistol yang disewakan oleh mereka dengan bayaran sekitar RM500 hingga RM1000.

Kes terbaharu ini disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa dan tidak pernah berlaku. Tindakan serius perlu dibuat bagi memastikan kes seperti ini tidak terus berleluasa. Trend terbaharu ini dapat menjadi peringatan kepada polis dan agensi lain untuk meningkatkan pengawasan, terutama di kawasan sempadan negara. Semua orang sedia maklum bahawa penjenayah cenderung mendapatkan senjata api dengan cara menyeludupnya dari negara jiran, Thailand. Pihak berkuasa tidak boleh bersikap leka dan membiarkan golongan remaja bebas melintasi sempadan negara kita dengan alasan mereka masih budak.

Selain itu, penyalahgunaan dadah jenis pil kuda dalam kalangan pelajar sekolah negara ini berada pada tahap yang membimbangkan, terutama di pintu masuk negara. Hal ini dilihat sebagai virus dalam masyarakat. Menurut Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Suhaimi Abdullah, Kelantan dan Terengganu merupakan negeri terjejas teruk kerana masalah ini. Terdapat kira-kira 100 orang remaja di bawah umur 21 tahun, termasuklah pelajar sekolah, dirawat di pusat pemulihan di Kedah. Pelajar sekolah di Kedah pula banyak terjebak dengan pengambilan air ketum.

Pelajar sekolah cenderung mengambil pil kuda kerana dadah jenis ini menjadikan mereka lebih aktif selain meningkatkan keberanian. Kebanyakan daripada mereka yang terlibat dengan jenayah seperti ragut juga didapati positif pil kuda. Remaja digambarkan sebagai golongan yang amat rapuh ketahanan fizikal dan mentalnya. Semua remaja mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk menjanakan pembangunan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui kepemimpinan negara kita haruslah merdeka daripada belenggu angkara sosial. Hanya remaja yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika remaja kita tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan baiknya, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti.

Oleh itu, remaja kita perlu dikejutkan daripada lena dan keasyikan, dan kemudian melengkapkan diri dengan ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Haziah Che Husin

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Siswa keluaran April 2015.

Hantar Maklum Balas