CABARAN REMAJA DI SEMPADAN

Home » Fokus » CABARAN REMAJA DI SEMPADAN

OLEH NORAZIAH MOHD AMIN

Sering kali minda kita disuapkan dengan maklumat yang berkaitan dengan fenomena dunia tanpa sempadan yang lebih bersifat maya yang membawa kesan globalisasi yang dapat mencorakkan kehidupan masyarakat dunia mengikut acuan yang diterima. Selain sempadan abstrak sebegini, sempadan sebenar, sama ada yang merangkum ruang daratan, udara ataupun maritim, yang menjadi lingkaran pengasingan di antara Malaysia dengan negara jiran rapatnya turut perlu diberi perhatian, terutama dari segi impaknya kepada kehidupan komuniti di daerah berkenaan.

Menurut Meor Ahmad Noor Mior Hamzah, penulis rencana “Konsep Sempadan Negeri dalam Masyarakat”, istilah sempadan merujuk “batas” (negeri, kampung dan lain-lain) selain dapat didefinisikan sebagai “had atau takat” yang menjadi perenggan pemisah di antara satu kawasan dengan kawasan yang lain. Meor Ahmad Noor berpendapat, masyarakat Melayu tradisional melihat sempadan sebagai sesuatu yang “kabur”, iaitu sesuatu yang wujud tetapi tidak kelihatan pada mata mereka.

Sempadan Malaysia dengan Thailand, antaranya, termasuklah Bukit Kayu Hitam, Kedah; Padang Besar, Perlis; dan Rantau Panjang serta Pengkalan Kubur, Kelantan. Jelaslah, sempadan merupakan garisan pemisah di antara sesuatu tempat dengan tempat yang lain yang membezakan kedua-dua kawasan tersebut dari segi geografinya dan mungkin juga aspek politik dan sosiologi masyarakat di lokasi berkenaan. Oleh yang demikian, golongan remaja yang tinggal berdekatan dengan sempadan negara, seperti di kawasan Sungai Golok, lebih terdedah kepada pelbagai anasir luar yang dapat mempengaruhi perkembangan mental dan kehidupan sosial mereka.

Dari segi budaya hidup, kebanyakan remaja yang tinggal di sempadan negara lebih cenderung untuk mengamalkan budaya campuran yang diadun sebati yang berasal dari kawasan tempatan di negara kelahiran dan yang diserap dari luar negara. Hal ini, terutamanya, terjadi kepada remaja yang lahir daripada perkahwinan campuran antara rakyat Malaysia dengan rakyat negara yang bersempadan dengannya. Di samping itu, kekerapan mengunjungi negara yang bersempadan dengan Malaysia, seperti Thailand, atas faktor jarak yang dekat dapat mendorong remaja untuk mengamalkan budaya masyarakat negara tersebut.

Kewujudan rakyat dari luar negara yang memasuki sempadan Malaysia bagi aktiviti ekonomi dan sebagainya juga sedikit banyak mempengaruhi budaya remaja tempatan dalam pelbagai aspek sosiologi, seperti linguistik dan penampilan diri serta psikologi. Integrasi berterusan dengan warga dari negara bersempadan dapat membentuk persepsi tentang pemilikan dwikerakyatan dalam kalangan remaja.

Hal ini dapat mencetuskan krisis identiti, seperti kecelaruan jati diri, yang membuatkan remaja sukar mengenal pasti kewarganegaraannya yang sebenar. Semangat nasionalisme dan patriotisme kepada Malaysia mungkin terhakis jika remaja tidak benar-benar menghargai taraf kewarganegaraan Malaysia yang dimiliki lantaran pengaruh kuat dari negara batasan sempadan yang sekian lama menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Siswa keluaran April 2015.

Hantar Maklum Balas